
KOTA BHARU: Kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menyelenggara jalan negeri dan jalan persekutuan bagi memastikan keselamatan pengguna ketika musim tengkujuh.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pemasangan ‘garis putih memantulkan cahaya’ dianggap mampu mengurangkan kecelakaan di jalan raya.
Bagaimanapun katanya, Jabatan Kerjaya Raya (JKR) memasang kemudahan tersebut di laluan tertentu yang dikenal pasti berdasarkan risiko dan keutamaan.
“JKR akan meneliti lokasi tertentu memandangkan kekangan kos menyebabkan kita memilih keutamaan yang perlu diselenggara,” katanya menjawab soalan tambahan Harun Ismail (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Dr Izani yang juga ADUN Kijang berkata, pihaknya memandang serius isu kemalapan garis putih atas jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Malah katanya perkara itu turut dibangkit kepada kerajaan persekutuan ketika sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini.
“Jawapan diberi menteri kerana setiap tahun jalan sentiasa bertambah kos selenggara, jadi dipilih jalan ikut keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024




















