
BACHOK: Banjir di Kelantan masih terkawal dan sehingga hari ini hanya dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sejak negeri ini dilanda hujan lebat lima hari lalu.
Keadaan hujan yang telah kembali reda sejak malam tadi menyebabkan jumlah mangsa banjir tidak bertambah.
PPS Sekolah Menengah Gual Tok Deh dalam Parlimen Rantau Panjang kedua dibuka bermula semalam (24 November) selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok yang dibuka sejak 22 November lalu.
Sehingga kini seramai 76 mangsa dari 19 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan, iaitu 32 di Sekolah Menengah Gual Tok Deh dan 44 mangsa di Sekolah Kebangsaan Beris Panchor di Bachok.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang Harun Ismail telah menziarahi mangsa-mangsa banjir di Bachok sebanyak dua kali sejak mereka ditempatkan di PPS berkenaan 22 November lalu.
Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di samping menyantuni mereka dan berharap mangsa-mangsa banjir bersabar menghadapi ujian dari Allah.
Beliau bagaimanapun meminta mangsa-mangsa banjir supaya sentiasa berhati-hati terutama sekali mereka yang tinggal di kawasan mudah ditenggelami air.
“Penting sekali sentiasa mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan. Kalau mereka suruh pindah, kita kena pindah segera bagi mengelak berlaku sebarang kejadian buruk,” katanya ketika dihubungi pagi ini. – HARAKAHDAILY 25/11/2024











