Perlis jangka terima 3.5 juta pelancong tahun ini

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Perlis kini menjadi antara destinasi pelancongan utama di negara ini menerusi penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs).

Katanya, Perlis yang sebelum ini kurang dikenali kini berjaya menarik jutaan pelancong dari dalam dan luar negara dengan keindahan alam semula jadi menjadi antara tarikan utama.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri menjangkakan 3.5 juta pengunjung ke Perlis menjelang Disember. Setakat September 2024, kita merekodkan 2.7 juta kemasukan pelancong,” katanya ketika Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri memastikan semua kemudahan pelancongan sentiasa diselenggara dengan baik untuk memastikan keselesaan pengunjung.

Katanya, pengiktirafan Perlis Geopark sebagai Geopark Kebangsaan pada November 2023 menyumbang kepada peningkatan pelancong, selain disokong program TMPs.

Menurutnya, Perlis menjadi laluan utama pelancong ke selatan Thailand melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan ICQS Wang Kelian yang sering sesak pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih terhadap peruntukan di bawah Rolling Plan 4 RMK-12 untuk menaik taraf Kompleks ICQS Wang Kelian yang luzur.

Menteri Besar turut berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian yang ditutup sejak 2015.

“Ini adalah harapan rakyat Perlis, terutama komuniti Wang Kelian,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

- Advertisement -