
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 3 negeri sehingga jam 1 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah beberapa kawasan di Terengganu yang melibatkan kawasan Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Pahang. Ia meliputi kawasan Pahang Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Manakala di Johor pula melibatkan kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024




















