Kemenangan Trump, Palestin terus menderita

Donald Trump terkenal sebagai penyokong kuat Israel.
- Advertisement -

KEMENANGAN Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dilaporkan media massa sebagai mengejutkan, tetapi figura ini memang sentiasa mengejutkan.

Cuma ada satu perkara yang tidak mengejutkan. Sama ada Kamala Harris dari Demokrat atau Trump dari Republikan menang, AS tetap menyebelahi Israel.

Pemilihan Trump dijangka memberikan kesan signifikan terhadap isu Palestin, memandangkan rekod kepimpinannya sepanjang penggal pertama (2017-2021). Trump terkenal dengan dasar luar yang sangat memihak kepada Israel dan sering menafikan hak-hak Palestin.

Jika beliau kembali berkuasa mulai Januari ini, kita mungkin akan menyaksikan sikap berat sebelah yang lebih besar kepada Israel, sekali gus merugikan aspirasi politik dan kemanusiaan Palestin.

- Advertisement -

Sudah pasti Trump akan meningkatkan sokongan terhadap Israel. Pada penggal pertama, Trump memberikan sokongan yang sangat kuat kepada Israel, termasuk mengiktiraf Jerusalem (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem pada 2018.

Keputusan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan dunia Arab dan masyarakat antarabangsa yang menganggapnya sebagai melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak Palestin terhadap Jerusalem sebagai ibu negara.

Kemenangan Trump akan membawa kepada lebih banyak keputusan dan tindakan yang menguntungkan Israel seperti mengiktiraf tanah Palestin yang masih tinggal, Tebing Barat dan Gaza sebagai wilayah Israel. Ini akan memburukkan keadaan dan meningkatkan ketegangan antara Israel dan Palestin, selain merosakkan peluang penyelesaian yang lebih adil.

Trump juga menolak penyelesaian dua negara yang menjadi asas banyak perundingan damai dalam konflik Palestin-Israel. Pada penggal pertamanya, Trump mengutamakan penyelesaian yang memihak kepada Israel dan kurang memberi perhatian kepada keperluan negara Palestin yang berdaulat.

Ketika kepimpinan Trump, AS bukan sahaja gagal berperanan sebagai orang tengah yang neutral dalam konflik Palestin-Israel, malah bertindak sebagai penyokong utama Israel. Inisiatif seperti “Deal of the Century” yang diumumkan oleh pentadbiran Trump pada 2020 adalah contoh AS di bawah kepimpinannya menyokong satu pihak sahaja dalam konflik ini.

Rancangan ini yang menawarkan penyelesaian yang sangat memihak kepada Israel dan memperkecilkan hak-hak Palestin, ditolak dengan tegas oleh Palestin dan sebahagian besar negara Arab. Natijah kemenangan Trump pada 2024, AS mungkin akan terus kehilangan kredibiliti sebagai orang tengah yang adil dan berwibawa dalam usaha penyelesaian konflik Palestin-Israel.

Sokongan kuat Trump terhadap Israel dan pengabaian terhadap hak Palestin boleh menyebabkan peningkatan ketegangan di Timur Tengah apabila negara Arab dan Islam semakin terasing dari AS. Selain itu, dasar yang menindas Palestin boleh mencetuskan lebih banyak protes, ketegangan dan keganasan di Gaza dan Tebing Barat.

Trump sering memperkecilkan hak asasi manusia Palestin. Pada penggal pertamanya, pentadbirannya tidak memberi tekanan terhadap Israel untuk menghentikan pembinaan penempatan haram peneroka Yahudi dan sering mengabaikan laporan mengenai penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Sehubungan itu, bukan luar biasa jika pentadbiran Trump akan terus mengabaikan isu hak asasi manusia di Palestin, sekali gus memburukkan penderitaan rakyat Palestin yang terpaksa berhadapan sekatan, keganasan, dan penindasan berterusan rejim Zionis Israel.

Pentadbiran Trump sebelum ini juga menyaksikan AS memotong sebahagian besar bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada Palestin, terutama Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan projek-projek bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Trump dijangka akan melanjutkan dasar ini, menyebabkan lebih banyak kesusahan kepada rakyat Palestin yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan asas mereka.

Sama ada Kamala atau Trump, tidak banyak beza dalam hubungan dengan isu Palestin. Kemenangan Trump akan memberi kesan yang sangat negatif terhadap penyelesaian konflik Palestin-Israel. Sokongan berterusan terhadap Israel dan pengabaian hak-hak Palestin, beliau akan terus menghalang proses perdamaian yang adil dan menyukarkan usaha untuk mencari penyelesaian politik yang lestari. – HARAKAHDAILY 16/11/2024

- Advertisement -