
QATAR telah menangguhkan peranannya sebagai perantara utama dalam rundingan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tahanan warga Israel.
Penangguhan ini dilakukan sehingga pihak Hamas dan Israel menunjukkan kesepakatan untuk mencapai tujuan rundingan itu.
Sebelum ini, Qatar telah membuka pintu bagi pemimpin politik Hamas membuka pejabat biro politiknya sejak tahun 2012.
Qatar telah terlibat dalam rundingan antara Hamas-Israel yang berlarutan selama berbulan-bulan demi mengakhiri perang di Gaza.
Pendirian Qatar itu dipercayai berpunca daripada pusingan terkini rundingan di Doha pada pertengahan Oktober lalu gagal mencapai sebarang kata sepakat ke arah gencatan senjata.
Hamas dikatakan menolak cadangan gencatan senjata jangka pendek dengan tuntutan untuk melepaskan tebusan Israel yang berbaki.
Dengan perkembangan itu, Amerika Syarikat (AS) menegaskan kepada Qatar bahawa tiada keperluan lagi Hamas berada di Doha selepas pergerakan perjuangan Palestin itu menolak cadangan terbaru berhubung gencatan senjata dan tebusan.
Rundingan tersebut yang turut diusahakan oleh Mesir dan AS telah berulang kali menemui jalan buntu sejak November 2023 lalu.
Rentetan itu, pentadbiran Washington dilaporkan telah menuntut Qatar untuk menutup pejabat Hamas di Doha setelah mereka dikatakan menolak cadangan untuk mencapai rundingan gencatan senjata.
Namun,masih tidak jelas sama ada Qatar telah memberikan tarikh akhir tertentu kepada pemimpin Hamas untuk meninggalkan negara itu.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menolak laporan itu sebagai satu mesej dari AS untuk memberi tekanan kepada pergerakan itu.
Beliau turut mengakui bahawa Qatar telah menangguhkan peranan sebagai perantara sehingga Hamas dan Israel menunjukkan hasrat yang tulus untuk kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun, pihak Hamas di Doha belum menerima sebarang arahan untuk meninggalkan Qatar.
Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang buruk mengiringi kemenangan Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat ke-47 yang dijangka memberi kesan besar kerana dijangka beliau akan meneruskan dasar anti-Palestin pada penggal lalu, malah berkemungkinan dipertingkatkan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Hamas menyatakan bahawa pendirian mereka terhadap pentadbiran AS akan bergantung kepada tindakan Trump terhadap hak-hak rakyat Palestin.
Hamas menekankan bahawa tindakan nyata perlu diambil untuk melindungi hak-hak Palestin bagi menentukan hubungan masa depan mereka antara Palestin-AS.
Reaksi yang sama turut dilihat dari pihak Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menegaskan bahawa Palestin tiada sebarang rundingan dengan AS, selagi Trump tidak menarik balik pengiktirafan Jerusalem (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel yang dilakukannya ketika penggal pentadbirannya yang lalu.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan serangan Israel di Semenanjung Gaza telah mengorbankan lebih 43,603 nyawa dan dipercayai lebih 10,000 orang lagi yang turut terkorban, namun tidak dapat dipastikan jumlahnya kerana kebanyakan mayat mereka masih tertimbus di bawah runtuhan.
Laporan itu turut menyebut jumlah penduduk yang mengalami kecederaan meningkat ke angka 102,929 orang. – HARAKAHDAILY 16/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















