
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia bersolidariti bersama PAS Perak susulan penganjuran perhimpunan Jalur Gemilang yang disertai seramai 1,000 orang di sekitar Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada 26 Oktober 2024 lalu.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Hafez Sabri berkata, perhimpunan Jalur Gemilang itu diadakan sebagai tindak balas terhadap tindakan sekumpulan masyarakat Cina yang mengibarkan bendera China dalam sambutan perayaan di sekitar Menara Condong itu sehingga mencetuskan provokasi terhadap isu kedaulatan negara.
“Berhubung isu tersebut, pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang mengibarkan bendera China tanpa sebab yang kukuh dan meminta agar pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan yang keras terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Dalam pada itu, Pemuda PAS juga menghormati proses siasatan oleh PDRM ke atas penganjuran himpunan Jalur Gemilang oleh PAS Perak dan meminta semua pihak memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Justeru, menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, pihaknya berharap agar isu berkenaan dapat diadili sebaik mungkin dan mengambil kira hak bersuara rakyat di negara ini
“Pemuda PAS berharap agar isu ini diadili sebaik mungkin dengan mengambil kira hak bersuara rakyat Malaysia yang teguh mempertahankan negara daripada anasir-anasir yang mengancam kedaulatannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024




















