Hutang PTPTN: Kerajaan perlu selesaikan isu al-gharimin

Zaharudin Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Mana-mana pemimpin Islam yang menyatakan bahawa hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib dibayar adalah salah dari segi ekonomi (menurut perspektif) Islam.”

Itu penegasan pendakwah ekonomi bebas, Zaharudin Muhammad yang berkata, satu daripada perkara yang perlu diselesaikan kerajaan ialah isu al-gharimin, iaitu mengenai golongan berhutang untuk perkara-perkara berkaitan keperluan.

- Advertisement -

“Oleh sebab itu, bagi saya jika ada pemimpin Islam yang kata hutang PTPTN wajib dibayar, maka ia salah daripada segi ekonomi (menurut perspektif) Islam.

“Ini kerana hutang PTPTN tidak seharusnya disamakan macam mana kita berhutang dengan kawan untuk membeli kereta sebagai contohnya,” katanya dalam satu ceramahnya berjudul, Ulasan 2 Belanjawan 2025 Dari Perspektif Fiqh Islam yang disiarkan secara talian pada Selasa.

Menurut beliau, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam membantu untuk menyelesaikan hutang al-gharimin tetapi dengan satu-satunya syarat bahawa hutang tersebut bukannya untuk kemewahan.

Tambahnya, antara hutang keperluan yang perlu kerajaan bantu selesaikan ialah berbentuk pinjaman pendidikan dan pinjaman untuk kos sara hidup.

“Tanggungjawab kerajaan adalah bantu rakyat yang dikategorikan sebagai al-gharimin dalam menyelesaikan hutang-hutang yang bersifat keperluan dan bukannya untuk kemewahan.

“Saya telah buat simulasi bersama-sama pasukan Dokumen Hijau PAS mengenai perkara ini iaitu ketika Pilihan Raya 2018 sehingga masuk dalam manifesto iaitu menghapuskan hutang PTPTN dalam tempoh lima tahun.

“Melalui simulasi tersebut, kita mengambil satu per lapan daripada hasil cukai iaitu cukai simpanan korporat dan cukai saham yang dianggarkan kenaikan dalam RM5 billion.

“Separuh daripada satu per lapan hasil cukai tersebut boleh digunakan sebagai peruntukan untuk membayar balik kesemua hutang PTPTN selain daripada hutang-hutang lain.

“Peruntukan sebegitu bukan bersifat sunat tetapi wajib kerajaan buat dalam menyelesaikan masalah hutang-hutang PTPTN.

“Kalau kerajaan melakukan sedemikian siapa yang rugi? Tiada seorang pun yang rugi kerana wang tersebut akan tetap mengalir dalam akaun wang kerajaan juga dan bukannya akaun bank orang lain pun,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zaharudin menyatakan  bahawa ramai individu yang disenarai hitam (blacklist) oleh PTPTN hanya akan merugikan pihak kerajaan itu sendiri jika golongan sebegini masih lagi tidak dibantu.

Kata beliau lagi, ini kerana mereka tidak akan mempunyai sifat berdaya saing dan tidak produktif dalam membangunkan semula ekonomi negara Malaysia.

“Sekarang orang-orang yang kena blacklist dengan PTPTN sangat tidak ramai yang dapat bangun (bangkit dari kegagalan) semula sedangkan mereka mempunyai kepandaian dan kebolehan tersendiri.

“Bila perkara sebegini terus berlaku siapa yang rugi? 

“Kerajaan juga yang rugi kerana tidak mampu melahirkan ramai individu yang berdaya saing dan mempunyai produktiviti,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

- Advertisement -