Fahami Politik Islam sebenar

Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak mudah untuk menarik anak muda hari ini agar memahami politik Islam yang sebenar, kata Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin.

Muhammad Hanif berkata, terdapat beberapa salah faham tentang politik yang sering berlaku dalam masyarakat, terutamanya berkaitan dengan konsep politik dalam konteks Islam.

- Advertisement -

“Salah faham inilah yang mengakibatkan kekeliruan mengenai peranan politik, terutamanya bagi generasi muda yang ada pada hari ini,” katanya menerusi kenyataannya di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, antara salah faham politik yang sering timbul adalah bahawa politik dipisahkan daripada agama, politik hanya untuk pemimpin, politik itu kotor dan penuh dengan penipuan, serta politik hanya fokus kepada kuasa dan kedudukan.

“Selain itu, ada anggapan bahawa menyertai politik moden seperti pilihan raya dan demokrasi adalah haram kerana sesetengah pihak beranggapan bahawa ia tidak terdapat secara langsung dalam sejarah Islam.

“Walaupun kaedah politik moden berbeza daripada zaman Nabi, prinsip keadilan, syura (musyawarah), dan tanggungjawab sosial yang diutamakan dalam politik Islam boleh diaplikasikan dalam sistem politik moden, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

“Seterusnya, ada juga yang tidak mengambil peduli tentang hal politik kerana percaya bahawa adalah lebih baik untuk menjauhi politik yang dilihat sebagai hal yang rumit atau membingungkan,” katanya.

Tambah beliau, setiap Muslim bertanggungjawab untuk memastikan mereka terlibat dalam proses politik yang membawa kepada kebaikan masyarakat dan menentang ketidakadilan.

“Sikap tidak peduli terhadap politik boleh menyebabkan kezaliman dan penindasan berleluasa tanpa kawalan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa setiap pihak yang beranggapan salah tentang kepentingan politik agar diperbetulkan, supaya masyarakat, terutamanya generasi muda, lebih memahami kepentingan politik sebagai alat untuk kebaikan bersama, terutama dalam kerangka Islam. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -