Hutan Sg Lembing: Kerajaan Pahang tidak perlu berdiam diri

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang digesa untuk segera memberikan penjelasan mengenai pembersihan kawasan Hutan Sungai Lembing yang telah berlangsung hampir 20 hari tanpa sebarang maklumat lanjut.

- Advertisement -

ADUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk tempatan yang risau tentang kesan tindakan tersebut terhadap ekosistem dan alam sekitar.

Beliau turut menyuarakan beberapa persoalan kritikal yang perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan.

Pertama, beliau meminta kepastian mengenai status tanah tersebut, sama ada ia telah diwartakan sebagai tanah pertanian dan jika ya, bilakah pewartaan itu dibuat.

Beliau juga ingin mengetahui identiti kontraktor atau pemaju yang telah dianugerahkan hak untuk menguruskan kawasan tersebut.

“Apakah telah melalui prosedur kewangan yang sepatutnya?” soalnya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Katanya, keluasan kawasan yang terlibat untuk penanaman kelapa juga menjadi fokus utama.

Mohamad Ayub Mat Ashri

Mohamad Ayub menuntut agar kerajaan mendedahkan berapa luas tanah yang telah dibersihkan untuk tujuan pertanian tersebut.

Selain itu, beliau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sama ada tanah itu dijual, dipajak, atau cara lain, serta butiran mengenai nilai transaksi jika ia dijual, termasuk sama ada harga jualan berada di bawah atau di atas harga pasaran.

Dalam konteks pajakan, jika tanah tersebut dipajak, Mohamad Ayub ingin mengetahui tempoh pajakan serta hasil yang bakal diperoleh oleh kerajaan negeri dari aktiviti tersebut.

Beliau juga menggesa agar pihak kerajaan memberikan penjelasan mengenai tempoh perolehan hasil bagi kerajaan negeri, jika ada.

Ayub turut meminta penjelasan mengenai penilaian jenis kayu yang ada di kawasan itu.

“Apakah telah dibuat penilaian terhadap jenis kayu dan berapakah penilaiannya? Mustahil tiada pengeluaran kayu dibuat terhadap kawasan seluas itu,” katanya.

Beliau turut meminta laporan mengenai Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) sebelum sebarang projek dilaksanakan.

“Apakah ada dibuat laporan penilaian EIA sebelum projek dimulakan atau dianugerahkan? Jika ada, mohon dikeluarkan untuk tatapan awam segera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri terhadap isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar.

“Apakah kerajaan negeri berhasrat untuk menggunakan strategi ‘silent is gold’? Jika ya, ini bukan masanya. Tidak perlu ambil sikap berdiam diri dan acuh tidak acuh dalam isu berkaitan alam sekitar.

“Penjelasan harus diberikan segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -