
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan empat negeri sehingga 1 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah Pulau Pinang, dan beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Selangor.
“Selain itu, kawasan di Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung).
“Seterusnya, kawasan di Selangor (Klang, Kuala Langat dan Sepang),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya.
Menerusi hantaran berbeza, MetMalaysia turut memaklumkan bahawa amaran hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Selain itu, beberapa kawasan Sabah di pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Beluran) dan Kudat dari 23 Oktober lalu sehingga 25 Oktober hari ini.
“Amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sedang dan dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024




















