‘Siapa boleh jamin tiada orang sakit selepas waktu kerja?’

Mythreyar (kanan) bersama-sama orang ramai selepas sidang media Kembalikan Waktu Operasi Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak, pada hari ini, 24 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

TANJUNG MALIM: “Siapa boleh jamin tak ada penduduk Tanjung Malim tidak sakit di luar waktu pekerjaan?”

Aktivis, Mythreyar Mutturamalinggam berkata, pengurangan waktu operasi kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak dari 24 jam kepada waktu bekerja sahaja telah mendatangkan banyak keburukan kepada penduduk Tanjung Malim.

- Advertisement -

“Saya merupakan seorang daripada penduduk Tanjung Malim yang sememangnya menentang perubahan waktu operasi kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim sebegini.

“Ini kerana tiada siapa pun yang dapat menjamin bahawa tak ada penduduknya yang akan sakit di luar waktu kerja,” katanya.

Beliau ditemui dalam  sidang media Kembalikan Waktu Operasi Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim yang diadakan berhampiran kawasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Menurutnya, sudah berlaku insiden yang mana tiga penduduk Tanjung Malim telah meninggal dunia akibat daripada tidak mendapat rawatan awal.

Tambah Mythreyar , keadaan sebegini adalah berbeza dengan waktu kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim sebelum ini iaitu bersifat 24 jam.

“Seharusnya Klinik Kesihatan Tanjung Malim perlu dinaiktaraf dan pada masa sama tidak mengganggu waktu operasi kecemasannya sebelum ini.

“Hal ini kerana tiada hospital berdekatan di kawasan Tanjung Malim dan jika mana-mana penduduknya yang terpaksa bergerak ke hospital sekalipun maka mereka terpaksa pergi ke Hospital Slim River.

“Namun begitu, jarak dari kawasan Tanjung Malim ke Hospital Slim River ialah 25 kilometer (km) iaitu bersamaan setengah jam dan bukannya semua penduduk kawasan ini mempunyai kenderaan untuk ke sana.

“Jangan lupa penduduk Tanjung Malim juga terdiri daripada orang-orang asli yang mana sudah tentu mereka terkesan daripada perkara sebegini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mythreyar menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya dalam melakukan perubahan waktu operasi kecemasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim seperti sekarang.

Beliau menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji semula tentang perkara ini dan mengembalikan semula waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjung Malik kepada 24 jam seperti sedia kala.

“Saya tidak mahu perkara sebegini untuk terus berulang kerana jika tidak maka ramai lagi nyawa penduduk Tanjung Malim akan kehilangan nyawa akibat tidak mendapat rawatan awal.

“Kita tidak mahu perkara sebegini untuk terus berulang dalam apa jua keadaan memandangkan penduduk Tanjung Malim berhak mendapat rawatan yang sewajarnya,” katanya.

Seramai lebih daripada 30 penduduk Tanjung Malim yang hadir berhimpun berhampiran kawasan Klinik Kesihatan Tanjung Malim bagi menggesa supaya dikembalikan semula waktu operasi kecemasan seperti sebelum ini iaitu 24 jam.

Klinik Kesihatan Tanjung Malim telah mula berubah waktu operasi kecemasannya dari 24 jam sejak tahun 2001 kepada waktu bekerja sahaja.

Menurut satu kenyataan media yang dibuat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha pada 30 September 2024, ia mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2024.

Namun begitu, penguatkuasaan waktu tersebut telah menyebabkan tiga kematian manakala seorang lagi masih dalam keadaan koma akibat daripada tidak mendapat rawatan awal. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -