
KAJANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menyantuni penduduk yang tinggal di Taman Kantan Permai melalui program riadah bersama yang telah diadakan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Asy-Syakirin.
Menurutnya, program anjuran PAS cawangan Taman Kantan Permai ini jelas menggambarkan semangat #SemenyihSepakat dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang sama-sama menyertai walkathon dan aktiviti mewarna.
“Inisiatif seperti ini menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan sesama penduduk dan memupuk kerjasama dalam komuniti kita.
“Dari anak-anak kecil hingga warga dewasa, semuanya menyahut seruan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dalam suasana yang penuh mesra dan bersatu-padu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Tambah Nushi, program seumpama itu telah membuktikan bahawa PAS bukan hanya memberi fokus kepada politik sahaja, malah serius dalam mendekati masyarakat melalui aktiviti sihat dan bermanfaat.
“Semoga usaha ini menjadi contoh bagi memperkukuhkan hubungan sesama penduduk dan memacu lagi semangat kesatuan di Semenyih.
“Bersama-sama kita bangunkan komuniti yang sihat, harmoni, dan bersatu padu,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024




















