
KUALA LUMPUR: Pekerja-pekerja teknikal perkhidmatan rel Rapid Kuala Lumpur sedang giat melakukan kerja membaik pulih kerosakan teknikal di landasan stesen Wangsa Maju hingga Sri Rampai.
Pengendalinya, Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memaklumkan perkara tersebut dilakukan bagi membaiki landasan tersebut daripada takungan air yang berpunca daripada hujan lebat tanpa henti pagi tadi.
Pihaknya juga menyatakan terpaksa menghentikan bekalan kuasa di landasan kawasan terbabit akibat daripada perkara tersebut.
“Kejadian kira-kira pukul 10:20 pagi itu dipercayai berpunca daripada aliran air hujan yang luar biasa dari kawasan sekitar dan memasuki landasan yang terletak di aras tanah serta merosakkan beberapa komponen di trek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Rapid Rail, perkhidmatan tren alternatif bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya diaktifkan di antara stesen Gombak dan Wangsa Maju manakala tren dari Putra Height pula akan berpatah balik di Wangsa Maju.
Tambahnya, sebanyak 12 buah perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan dengan kekerapan setiap 15 minit bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan mereka.
Sehubungan itu, media melaporkan Rapid Rail berkata kakitangan operasi dan polis bantuan tambahan ditempatkan di stesen berkenaan bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.
Para pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing serta merujuk media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024




















