Negeri SG4 berpotensi usahakan tanaman Harumanis

- Advertisement -

KANGAR: Empat kerajaan negeri (SG4) di bawah Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu berpotensi mengusahakan tanaman mangga Harumanis, ikon negeri Perlis yang terkenal dengan kualiti dan rasa tersendiri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad, Kedah juga telah mula menanam Harumanis, meskipun rasa buahnya mungkin tidak sama sepenuhnya.

“Kita beri laluan kepada negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk mengusahakan tanaman Harumanis. Seperti mana yang kita tahu, Kedah pun sudah mula tanam mempelam Harumanis.

“Walaupun mungkin citarasanya tidak seratus peratus sama dengan buah dari Perlis disebabkan faktor cuaca,” katanya turut mendedahkan, Kelantan juga telah mengambil langkah untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar Harumanis di Perlis.

Beritahunya, beliau berkesempatan melawat Bachok, Kelantan di mana terdapat tanaman itu di sana dan pihak berkenaan pun telah datang ke Perlis untuk mendapatkan khidmat nasihat, dan Perlis akan sentiasa membantu.

Namun begitu, Razali menekankan, faktor cuaca di Perlis tetap menjadi elemen utama yang memberi kelebihan kepada rasa Harumanis unik dan sukar ditandingi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dewan 2020, di sini hari ini.

Sementara itu, Razali turut menyatakan kebanggaannya terhadap status Mangga Harumanis sebagai ikon negeri ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para petani, penyelidik, serta sokongan daripada kerajaan negeri dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya dalam ucapan aluan ketika majlis perasmian persidangan tersebut.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri komited dalam memajukan industri Harumanis melalui pelbagai inisiatif, termasuk bantuan teknikal, insentif teknologi dan penyelidikan untuk memastikan pengeluaran buah Harumanis terus meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.

“Persidangan ini diharapkan menjadi platform penting untuk merangka strategi dan hala tuju industri Mangga Harumanis di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ia akan menjadi titik temu antara petani, penyelidik, pengusaha, dan kerajaan dalam memperkukuhkan industri ini serta memantapkan lagi teknologi dan kerjasama strategik demi masa depan industri Harumanis yang lebih gemilang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -