China kerah pesawat, kapal perang kepung Taiwan

Helikopter tentera China melintasi Pulau Pingtan, salah satu lokasi paling dekat antara China dan Taiwan. (FOTO: The Defense Post)
- Advertisement -

TAIPEI: China mengerahkan pesawat dan kapal perangnya untuk mengepung Taiwan pada  hari ini, Isnin (14 Okt) dalam latihan yang dikatakan Beijing bertujuan untuk menghantar ‘amaran keras’ kepada pasukan ‘pemisah’ di negara jirannya itu.

Latihan berkenaan dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mengeluarkan amaran kepada Beijing supaya tidak mengambil tindakan sebagai tindak balas terhadap ucapan Presiden Taiwan, Lai Ching-te semasa sambutan Hari Kebangsaan negara kepulauan itu.

- Advertisement -

Lai, yang memegang jawatan pada Mei lepas dilihat  lebih lantang daripada presiden sebelum ini, Tsai Ing-wen dalam mempertahankan kedaulatan Taiwan, dan telah menimbulkan kemarahan China yang melabelkan dirinya sebagai ‘puak pemisah’, lapor Reuters.

Taiwan dalam pada itu mengecam latihan terbaharu berkenaan dan menganggapnya sebagai ‘tidak rasional dan provokatif’, dan berkata ia telah menghantar ‘kuasa yang sesuai’ sebagai tindak balas tersebut.

Sementara itu, Beijing tidak menolak untuk menggunakan kekerasan bagi membawa Taiwan ke bawah kawalannya, dan latihan pada Isnin itu merupakan kali keempat dalam ‘permainan’ perang berskala besar untuk tempoh dua tahun lalu.

Jurucakap Komando Teater Timur tentera China, Kapten Li Xi berkata, latihan berkenaan yang digelar ‘Joint Sword-2024B’ dilaksanakan bagi menguji keupayaan operasi bersama tentera komando teater.

“Latihan diadakan di kawasan utara, selatan dan timur Pulau Taiwan. Latihan itu memberi tumpuan kepada subjek rondaan kesediaan tempur udara laut, sekatan di pelabuhan dan kawasan utama.

“Ia juga melatih serangan ke atas sasaran maritim dan darat, serta penguasaan rampasan bersama menyeluruh,” katanya. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -