Rapatkan hubungan dengan Allah melalui doa

- Advertisement -

JIKA setiap kali kita meminta dan Allah terus mengabulkan, kita mungkin akan berhenti meminta setelah mendapatkan apa yang dihajatkan.

Manusia sering kali ingat kepada Allah hanya ketika dalam kesusahan; tatkala sesuatu keinginan telah diperoleh, kita mudah lupa.

- Advertisement -

Ulama menyatakan bahawa Allah kadang-kadang menangguhkan pengabulan doa kerana Dia suka mendengar hamba-Nya berdoa, merendah diri, dan kembali kepada-Nya.

Dalam hadis, Rasulullah menyebut, “Siapa yang tidak berdoa kepada Allah, Dia akan marah,” (Rujuk: Riwayat Imam Tirmizi, 3373).

Ini kerana, dengan tidak berdoa, kita menunjukkan seolah-olah kita tidak memerlukan pertolongan Allah, dan sikap ini dianggap sombong.

Sama seperti apabila kita tidak meminta bantuan daripada orang lain, ia menunjukkan sikap tidak peduli, yang mungkin dilihat sebagai kesombongan.

Setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah dihargai. Nabi menjelaskan bahawa terdapat beberapa cara Allah menjawab doa hamba-Nya.

Ada yang Allah berikan apa yang diminta dengan segera; ada yang ditangguhkan untuk kebaikan di kemudian hari; dan ada juga yang doa tersebut digantikan dengan kebaikan lain, atau digunakan sebagai penghalang bagi keburukan yang mungkin berlaku. (Rujuk: Riwayat Imam Ahmad, 10749).

Doa tidak pernah sia-sia. Jika tidak dijawab di dunia, doa tersebut akan menjadi bekalan dan balasan pahala di akhirat kelak.

Doa adalah tanda kebergantungan kita kepada Allah. Dengan mengangkat tangan dan bermohon kepada-Nya, terutama di waktu-waktu sunyi seperti tengah malam, kita menunjukkan kerendahan hati dan pengharapan yang tulus kepada Sang Pencipta.

Itulah sebabnya doa amat penting dalam kehidupan, kerana ia bukan hanya tentang mendapatkan sesuatu, tetapi juga tentang merapatkan hubungan kita dengan Allah. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -