
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mencadangkan agar kerajaan meningkatkan bilangan kakitangan dan memperluas penguatkuasaan di seluruh negeri.
Menurut beliau, kelewatan penguatkuasaan sampai di tempat kejadian sering menyebabkan kehilangan bukti dan menghalang tindakan pendakwaan.
“Isu kita ada dua yang pertama kekurangan kakitangan, kita akui setakat ini hanya 23 cawangan kita di seluruh negara dan kekurang kakitangan adalah isu yang berpanjangan.
“Apakah kerajaan bercadang untuk buat penambahan terhadap jumlah kakitangan dan penguatkuasaan bilangan cawangan di seluruh negeri,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut bertanya sama ada kerajaan akan menyemak semula kos pelupusan sisa toksik berjadual yang dikatakan sangat tinggi, menyebabkan sesetengah pihak industri memilih untuk melupuskan sisa secara haram.
“Soalan saya apakah pihak kerajaan bercadang menyemak semula kos tersebut supaya yang penting mereka hantar, kalau kos sangat tinggi akhirnya mereka ambil jalan singkat.
“Selain itu, apakah kerajaan bercadang menambah pusat pelupusan sisa memandangkan kini hanya terdapat satu pusat sahaja,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui kekangan kakitangan dan fasiliti pelupusan, serta menyatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji langkah-langkah untuk menangani masalah itu, termasuk memperbaiki struktur kos dan menambah pusat pelupusan sisa di beberapa zon.
“Sememangnya kita sedar tentang kekangan dari segi kakitangan dan dalam perbincangan yang kita adakan dengan Kementerian Kewangan kita mencadangkan kalau boleh lihat model yang digunakan oleh pihak Kastam misalnya apabila dikenakan denda dan sebagainya.
“Kedua kita sedar soal kos pelupusan tersebut dan ini kita akan terus berusaha untuk meningkatkan fasiliti yang ada sebab kadang-kadang misalnya ada yang berpusat meliputi semua servis, ada di Negeri Sembilan di Semenanjung, utara atau selatan mungkin agak jauh untuk menghantar barangan tersebut ke kawasan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024











