Kerajaan perlu bantu usahawan informal

Datuk Muslimin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyatakan perancangan dan langkah strategik bagi membantu dan memudahcara pemformalan usahawan informal sebagai perniagaan berdaftar.

Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berkata, setakat ini usahawan informal meliputi hampir 1 juta orang.

“Kerajaan perlu mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma supaya peluang mereka untuk mendapat pembiayaan itu lebih cerah dan luas lagi di pelbagai agensi di bawah kementerian.

- Advertisement -

“Seterusnya, apa harapan Yang Berhormat Menteri untuk memberikan lebih banyak tawaran kepada para usahawan khususnya menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada hari Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menyatakan bilangan terkini usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Selain itu, bilangan terkini usahawan informal selepas era pandemik Covid-19, serta langkah kementerian memastikan para usahawan meningkatkan lagi jualan perniagaan mereka.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, berkata kementeriannya telah melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal dan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

“Kita telah mengadakan libat urus bagi wilayah Semenanjung pada Ogos lalu, seterusnya libat urus pemegang taruh termasuk perniagaan kecil PMKS di wilayah timur iaitu Sabah.

“Oleh demikian, kita mengharapkan bahawa Belanjawan 2025 itu lebih baik daripada Belanjawan sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -