Banjir makin teruk di Perak: 625 penduduk dipindahkan

Paras air Sungai Perak terkini di bahagian Kuala Kangsar telah melepasi platform jeti di Lembah, dan arus juga mengalir dengan agak deras, menandakan masih banyak limpahan air dari anak-anak sungai di bahagian hulu Sungai Perak. (FOTO: Facebook)
- Advertisement -

IPOH: Hujan lebat yang berterusan hampir 12 jam sejak awal petang 12 Oktober lalu menyebabkan paras air sungai meningkat dengan cepat sehingga mengakibatkan limpahan air ke kawasan rendah, perkampungan dan perumahan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya berkata, beberapa kawasan telah dilanda banjir besar yang menyebabkan kerosakan harta benda dan gangguan kepada penduduk setempat. 

- Advertisement -

“Sehingga jam 7 pagi tadi, seramai 625 penduduk dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini. 

“Dua PPS yang baru telah dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pahit, Hulu Perak dan Dewan Kampung Batu 4, Muallim masih dalam proses pemindahan mangsa.

“Jumlah itu melibatkan 188 keluarga masing-masing dari daerah Kerian, Hulu Perak dan Kuala Kangsar,” ujar kenyataan tersebut dalam Facebook, hari ini. 

Sementara itu, mangsa banjir di daerah Hulu Perak telah meningkat kepada 172 orang melibatkan 59 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 30 mangsa pada Ahad (semalam).

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II telah dijadikan PPS untuk menempatkan 39 orang daripada 13 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Air Panas dinaiki banjir.

“Empat PPS lagi telah dibuka di daerah itu masing-masing di SK Palang, SK Kerunai, SMK Kenering dan Dewan Kampung Padang Jeri bagi menempatkan mangsa baharu yang terjejas banjir,” katanya. 

Selain itu, banjir di Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar turut menyaksikan pemindahan mangsa seramai 342 daripada 94 keluarga setakat jam 9 pagi ini. 

PPS SK Lasah turut menempatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 214 orang diikuti PPS SMK RLKT Lasah (96 mangsa) dan PPS Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong (32 mangsa).

Sementara, mangsa banjir di daerah Kerian masih kekal iaitu seramai 65 orang daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman, manakala PPS SK Changkat Lobak menempatkan 46 orang daripada 15 keluarga. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -