Isu penahanan kanak-kanak GISB: GPAAK tuntut 12 perkara terhadap kerajaan

Tun Faisal (duduk tengah) bersama sebahagian ibu bapa kepada kanak-kanak yang ditahan.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) mendakwa terdapat banyak kecelaruan, tangkapan dan tahanan yang tidak mengikut undang-undang serta pelanggaran peraturan hak asasi manusia dalam Op Global yang melibatkan 20 rumah amal dipercayai milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB Holding).

Jurucakapnya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pelanggaran berkenaan turut melibatkan Artikel 9 dan 18 Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak dalam Op Global berkenaan dengan tindakan merampas, menahan, memisahkan dan menyembunyikan anak-anak ini daripada ibu bapa mereka.

Justeru, pihaknya telah menyenaraikan 12 tuntutan untuk dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan melibatkan seramai 402 orang kanak-kanak.

- Advertisement -

“Pertama, kerajaan mesti segera memulangkan anak-anak ini kepada ibu bapa mereka kerana sejak awal lagi ia merupakan suatu kesilapan tangkapan dan kecelaruan risikan serta siasatan di pihak polis dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

“Kedua, kerajaan mesti mengambil tindakan tata tertib ke atas pegawai polis dan JKM yang telah melakukan kesalahan menangkap dalam risikan ini.

“Ketiga, kerajaan mesti segera mengambil tindakan tata tertib ke atas pegawai JKM dan polis yang mengambil kesempatan ke atas ibu bapa yang tidak memahami undang-undang dengan memaksa, menipu atau memperdayakan mereka ini untuk menandatangani dokumen yang boleh mengakibatkan mereka di dakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Tuntutan keempat, menurut beliau, kerajaan mesti segera membuat semakan kehakiman ke atas perintah lanjutan tahanan anak -anak ini kerana ada kemungkinan permohonan JKM kepada mahkamah untuk melanjutkan tahanan anak-anak ini dibuat menggunakan maklumat yang diambil secara menipu, memaksa dan memperdaya ibu bapa.

“Kelima, kerajaan mesti segera memaklumkan ibu bapa mengenai keberadaan anak-anak mereka dan membenarkan mereka bertemu anak-anak mereka.

“Keenam, kerajaan mesti segera memebri akses kepada media dan GPAAK untuk melihat keadaan ibu bapa dan anak-anak yang masih ditahan di pusat tahanan JKM.

“Ketujuh, kerajaan mesti segera meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender Parlimen memanggil dan menyiasat Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana telah melanggar Artikel 9 dan 18 Konvensyen Hak Kanak-Kanak dan hak asasi ibu bapa anak-anak yang terlibat,” ujarnya.

Tambah Tun Faisal, kerajaan turut digesa untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat pelaksanaan Op Global yang kelihatan bercelaru dan melanggar undang-undang hak asasi manusia.

“Kerajaan mesti menyiasat latar belakang dan kredibiliti pemberi maklumat kepada polis, iaitu PUKAS (Pusat Kajian Ajaran Sesat) dan wanita yang dikatakan bekas ahli GISB.

“Kerajaan dan kerajaan negeri mesti mengentikan kenyataan-kenyataan berkaitan GISB yang tidak bersandarkan fakta, mengarut, menambah fitnah dan memalukan mereka.

“Di atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan secara tidak bertanggungjawab oleh beberapa pihak mengenai GISB, GPAAK menuntut Ketua Polis Negara, Pengarah JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan Mufti Perlis meletakkan jawatan,” tambahnya.

GPAAK dalam pada itu turut menuntut agar Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.

“Pada waktu yang sama, GPAAK juga ingin menyatakan rasa marah dan kesal terhadap SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Muslim yang gagal berperanan menghalang Kerajaan daripada mencabul hak asasi ibu bapa dan kanak-kanak terbabit serta gagal bertindak pantas untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk kezaliman, salah guna kuasa dan penindasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2024

- Advertisement -