
MANAGUA: Kerajaan Nicaragua telah mengumumkan bahawa ia akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, menambah pengasingan negara yang semakin meningkat di pentas global di tengah-tengah perang genosid negara pengganas Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Lubnan.
Naib Presiden Nicaragua, Rosario Murillo mengumumkan langkah itu kepada media kerajaan pada hari ini, selepas Kongres negara itu meluluskan resolusi menggesa tindakan selepas ulang tahun setahun perang Gaza pada 7 Oktober 2023.
Murillo, yang merupakan isteri Presiden Daniel Ortega, berkata suaminya mengarahkan kerajaan untuk ‘memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan fasis dan genosid Israel’, lapor Al Jazeera.
Pengumuman itu sebahagian besarnya adalah simbolik, kerana Israel tidak mempunyai duta pemastautin di ibu kota Nicaragua, dan hubungan antara kedua-dua negara hampir tidak wujud.
Namun, pengumuman itu dibuat ketika Israel berada di bawah pengawasan diplomatik yang semakin meningkat di tengah-tengah kempen kejam di Gaza dan meluaskan serangan di seluruh Timur Tengah, termasuk di Lubnan.
Angka kematian di Gaza telah meningkat melebihi 42,000 orang, dan beribu-ribu lagi telah terbunuh dalam kempen pengeboman di Lubnan, kebanyakannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kerajaan Nicaragua mengecam perang Israel di Gaza pada Jumaat dan berkata, pertempuran kini ‘berlanjutan terhadap Lubnan dan mengancam Syria, Yaman dan Iran’.
Penentangan terhadap perang genosid Israel di Gaza agak meluas di Amerika Latin, di mana pemimpin kiri di negara seperti Brazil, Colombia dan Chile telah muncul sebagai pengkritik lantang mengecam negara haram itu.
Sehubungan itu, misi Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pada Jumaat bahawa ketiga-tiga negara itu telah membantu menerajui surat sokongan untuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, yang diisytiharkan Israel sebagai persona non grata minggu lalu.
Terdahulu, Presiden Colombia, Gustavo Petro memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada Mei 2024, melabelkan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘genosid’.
Pemimpin Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva turut memanggil pulang duta negara itu ke Israel pada bulan yang sama, dan beliau menyamakan perang di Gaza dengan Holocaust.
Bagi pihaknya, kerajaan Ortega mengemukakan permintaan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan penjualan senjata Jerman kepada Israel, usaha yang ditolak oleh mahkamah pada April 2024. -Agensi/– HARAKAHDAILY 12/10/2024




















