
JASIN: Kerisauan dizahirkan orang ramai terhadap lawatan kumpulan didakwa ‘mahasiswa pelatih universiti tentera laut China’ yang berlabuh di Pulau Pinang dengan menggunakan kapal perang dilihat sebagai berasas.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Zulhilmi Aziz Abdul Hannan berkata, ia disebabkan oleh pengisian-pengisian yang dilakukan mereka menimbulkan pelbagai persoalan dan mencurigakan.
“Meskipun Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, menyatakan bahawa lawatan tersebut adalah rasmi, namun, sambutan yang meriah serta aktiviti luar biasa menimbulkan rasa curiga.
“Lebih-lebih lagi, tindakan Speaker DUN Pulau Pinang memberi taklimat kepada tentera China mengenai Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menimbulkan persoalan besar. Apakah relevansinya dalam konteks diplomasi ketenteraan?” soalnya.
Kata beliau lagi, kehadiran itu dipersoalkan memandangkan krisis di Laut China Selatan masih belum reda, dengan Tentera Laut China sering kali menceroboh perairan negara ini.
Malah tambah beliau, China baru-baru ini membantah eksplorasi minyak dan gas Malaysia di perairan negara ini sendiri.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah penglibatan 150 anggota Tentera Laut China yang mengadakan program dan persembahan beridentiti China di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian).
“Ini menimbulkan persoalan mengenai pengaruh luar terhadap sistem pendidikan kita, yang sepatutnya menjadi benteng memperkukuh jati diri nasional,” katanya.
Kata Ustaz Zulhilmi lagi, sepanjang lawatan tersebut, Armada PLA menganjurkan pelbagai aktiviti, termasuk pertemuan dua hala, hari terbuka kepada orang awam, majlis resepsi di dek dan pertukaran profesional.
“Ia didakwa bertujuan meningkatkan kerjasama serta membina kepercayaan antara tentera laut China dan Malaysia. Ia juga dilihat boleh menjadi sumbangan positif bagi usaha membina ‘Komuniti Berkongsi Nasib Laut’. Agak mencurigakan bukan?” soalnya.
Selain itu kata beliau, walaupun lawatan itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar dan melalui saluran diplomatik rasmi, kehadiran tentera asing di sebuah sekolah persendirian tetap menimbulkan kebimbangan besar.
“Institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat untuk memperkukuhkan nilai-nilai kebangsaan, bukan menjadi platform untuk mempromosikan kuasa luar.
“Persoalannya, apakah tindakan yang diambil oleh Menteri Pendidikan untuk memastikan bahawa pengaruh luar ini tidak mengganggu identiti dan kesetiaan pelajar terhadap negara?
“Dengan membenarkan tentera daripada sebuah negara yang menuntut perairan kita masuk ke sekolah, adakah kita sedang menghantar isyarat yang salah kepada generasi muda mengenai kedaulatan dan tanggungjawab mereka terhadap tanah air?” soalnya lagi.
Tegas beliau, program diplomatik atau ketenteraan seharusnya dijalankan di lokasi yang lebih neutral, seperti tapak ketenteraan atau pusat pameran awam, bukannya di sekolah.
“Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan negara. Kami menuntut penerangan jelas daripada kerajaan, Majlis Keselamatan Negara,
“Kementerian Pendidikan, serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kehadiran kapal Tentera Laut China ini di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau memetik ayat 195 surah al-Baqarah di mana menurutnya mengingatkan umat Islam agar tidak melakukan tindakan yang boleh membawa kepada kemusnahan atau kelemahan negara.
“Di samping itu, ayat ini juga merujuk kepada larangan perbuatan yang boleh menyebabkan kelemahan umat Islam secara keseluruhan, termasuk ketidakbersediaan dalam menghadapi ancaman luar.
“Membenarkan pengaruh luar yang tidak sepatutnya meresap ke dalam institusi pendidikan atau sistem keselamatan negara boleh dianggap sebagai tindakan yang mencederakan kedaulatan negara, dan ini harus dihindari,” katanya.
Jelas beliau, isu itu bukanlah mengenai perkauman atau kebencian, tetapi ia adalah soal diplomatik dan identiti nasional.
“Kita tidak boleh membiarkan kedaulatan negara kita dicabar oleh mana-mana pihak tanpa tindakan tegas. Peristiwa ini tidak seharusnya berulang demi menjaga keselamatan, kedaulatan, dan maruah negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024











