Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa hari ini

Barisan anggota Unit Amal Malaysia sedang melakukan latihan perbarisan sempena Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa berhampiran Masjid Al-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur pada hari ini, 12 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai dan Unit Amal Malaysia sudah mula berkumpul di Masjid Al-Syakirin KLCC bagi menjayakan Himpunan Satu Tahun Al-Aqsa pada hari ini yang bakal menyaksikan perarakan dari lokasi tersebut menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini.

Perhimpunan tersebut adalah sebagai tanda bersolidariti rakyat Malaysia bersama-sama dengan Palestin sempena genap setahun Taufan Al- Aqsa yang dilancarkan pejuang Islam Palestin, Hamas pada 7 Oktober 2023.

Setakat jam 11 pagi ini, orang ramai sudah mula berkumpul di Masjid Al-Syakirin KLCC yang mana sebahagian daripadanya sedang berehat manakala sebahagian lagi sedang melakukan persiapan bagi menghadapi perhimpunan tersebut.

- Advertisement -

Sementara itu, anggota Unit Amal Malaysia sedang berkumpul di hadapan Masjid Al-Syakirin untuk diberikan taklimat mengenai perhimpunan pada hari ini.

Suasana di sekitar Masjid As-Syakirin masih lagi dalam keadaan tenang walaupun sudah kelihatan orang ramai mula lalu lalang di kawasan tersebut.

Peniaga-peniaga bazar tidak ketinggalan memeriahkan lagi suasana Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa di bahagian hadapan Menara Tabung Haji, di jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

Pada masa sama, terdapat juga beberapa peniaga bazar yang menjalankan operasi mereka di kawasan sekitar masjid tersebut, yang mana ada antara gerai yang mengibarkan bendera Palestin.

Sementara di bahagian hadapan Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak yang terletak di seberang Kedutaan Amerika Syarikat, turut kelihatan gerai-gerai yang menjual bandera Palestin, serta pakaian termasuk t-shirt berlambangkan Palestin.

Perhimpunan tersebut dijangka akan bermula pada jam 2 petang ini dan bakal menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh besar PAS serta sebahagian aktivis Palestin. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

Sebahagian daripada orang ramai yang akan menyertai Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa pada jam 2 petang hari ini sedang berehat di Masjid Al-Syakirin KLCC.
- Advertisement -