
PERAK: Semua ahli dan penyokong PAS Perak diseru untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Satu Tahun Taufan Al Aqsa yang akan diadakan pada 12 Oktober (esok) di Kuala Lumpur.
PAS Perak dalam satu kenyataan berkata genap satu tahun tragedi Taufan Al-Aqsa, di mana Israel terus-menerus menindas dan menyerang saudara-saudara kita di bumi Palestin.
“Sejak itu, ribuan nyawa melayang dan derita berpanjangan, namun semangat perjuangan mereka tetap membara.
“Justeru, kami menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama-sama turun ke Himpunan 1 Tahun Taufan Al-Aqsa yang akan diadakan esok bermula jam 2 petang.
“Marilah kita berhimpun di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur untuk menyuarakan sokongan dan solidariti terhadap saudara kita di Palestin,”” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, menurutnya, 7 Oktober 2024 menandakan genap setahun operasi Taufan Al-Aqsa, yang menjadi perhatian dunia terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Serangan genosid oleh negara haram Israel sehingga kini telah mengorbankan lebih 41,870 nyawa.
“Kementerian Pendidikan Palestin pula melaporkan lebih daripada 10,888 murid dan 529 guru serta kakitangan pentadbiran telah terbunuh,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, Sementara itu, 17,224 orang kanak-kanak dan 3,686 guru mengalami kecederaan, manakala 45,000 pelajar telah terkandas dengan sesi persekolahan telah ditangguhkan bagi tahun kedua.
“Maka, jangan kita biarkan mereka bersendirian!
“Ayuh, kita tunjukkan bahawa umat Islam bersatu mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan tanah Palestin yang suci,” tegas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 11/10/2024




















