‘Belum pernah lagi pelajar naik kapal perang’

Wan Ahmad Fayhsal menzahirkan rasa kesal dengan sambutan luar biasa yang diberikan kerajaan Pulau Pinang terhadap rombongan dua kapal perang latihan bersama pelajar dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada Sabtu, 5 Oktober 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat terutamanya Melayu berang apabila lebih 1,000 orang asing berpakaian Tentera Laut China disambut bak wira negara di Pulau Pinang, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kerajaan Pulau Pinang sebelum ini pernah mengumumkan kunjungan pelatih tersebut datang ke negeri itu dengan menaiki dua buah kapal latihan dan berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu. 

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan Pulau Pinang melalui Exconya membayangkan kunjungan ini dan dipersetujui oleh Kerajaan Madani.

- Advertisement -

“Oleh demikian, sudah tentu perkara ini mengundang kebimbangan kerana tentera Laut China sedang galak membuat kontroversi di Laut China Selatan khususnya di kawasan perairan kita di Beting Patinggi Ali. 

“Tindakan kerajaan Pulau Pinang jelas sekali tidak betul, sebab Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tergesa-gesa kata mereka bukan tentera China tetapi pensyarah dan pelajar.

“Amat lucu kerana belum pernah kita lihat pelajar menaiki kapal perang! 

“Tak pernah lagi dalam mana-mana program pelajar antarabangsa, beramai-ramai pakai seragam tentera dan menyanyikan lagu patriotik asing,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Fadhlina mendakwa kehadiran tentera China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah tidak benar sebaliknya mereka adalah terdiri daripada sekumpulan pelajar termasuk pensyarah dari Naval University of China.

Bagaimanapun, kunjungan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -