Pemuda PN desak kerajaan jelaskan kedatangan tentera China

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) Malaysia melahirkan rasa dukacita dengan tindakan kerajaan yang membisu berkaitan spekulasi hangat rentetan kedatangan dua kapal tentera laut China.

Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia adalah kapal latihan Qi Jiguang dan kapal JinggangShan yang membawa 1,376 pegawai dan tentera berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu.

- Advertisement -

“Meskipun Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai sudah memberi penjelasan yang ianya dibuat secara rasmi dan cuba menjernihkan keadaan dengan membandingkan lawatan ini dengan rekod persinggahan kapal-kapal tentera laut asing yang lain,” katanya  dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu menurutnya, ianya menimbulkan kesangsian kerana sambutan yang dibuat agak meriah dan aktiviti rombongan yang luar biasa berbeza dengan persinggahan kapal tentera asing yang lain.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, Pemuda PN menggesa Kerajaan PH-BN menjawab dua persoalan untuk meredakan spekulasi yang timbul. 

“Pertama, Pemuda PN ingin mengetahui relevansi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang memberi keterangan kepada tentera China mengenai Dewan Undangan Negeri.

“Kedua, Pemuda PN ingin bertanya sama ada rombongan 150 tentera China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) dan program beridentiti China melanggar protokol serta dasar negara Malaysia,” hujahnya.

Beliau berkata, sambutan dan program yang diatur oleh kerajaan Pulau Pinang dianggap mendukacitakan di tengah krisis Laut China Selatan yang berterusan. 

Menurutnya lagi, tindakan Tentera Laut China yang terus menceroboh perairan negara mengancam kedaulatan Malaysia. 

Selain itu, ujar beliau, China baru-baru ini membantah eksplorasi minyak dan gas Malaysia di perairan negara.

“Justeru, Pemuda PN menggesa Kerajaan PH-BN segera membuat keterangan untuk membuang rasa curiga rakyat akan tindakan  Kerajaan Pulau Pinang dan pihak pengurusan sekolah Menengah Persendirian Chung Lin. 

“Langkah ini juga dapat mencegah pihak bertanggungjawab memanipulasi isu dan membuat fitnah sekaligus dapat mengelakkan timbulnya ketegangan kaum,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

- Advertisement -