Pemansuhan subsidi pendidikan golongan kaya: Rakyat tak setuju

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri mengenai penghentian atau pemansuhan subsidi pendidikan untuk golongan kaya telah mencetuskan perbincangan di media sosial, dengan majoriti komen menunjukkan sentimen negatif terhadap kerajaan.

QgenAnalysts dalam kenyataannya berkata, perbincangan itu memperlihatkan kebimbangan rakyat terhadap isu definisi ‘golongan kaya’, janji pendidikan percuma, serta hak pendidikan yang adil untuk semua.  

- Advertisement -

Langkah ini menunjukkan bahawa keputusan berhubung isu pendidikan memerlukan penjelasan yang lebih mendalam dan pertimbangan terhadap pelbagai lapisan masyarakat sebelum ia dilaksanakan,” ujar QgenAnalysts dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pada 30 September, Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk menghentikan subsidi pendidikan untuk golongan orang kaya ketika berucap dalam Simposium Kebangsaan 2024: Menoktahkan Kemiskinan di Putrajaya. 

Kenyataan itu disambung oleh Menteri Pendidikan Tinggi pada 1 Oktober dengan menyatakan keputusan penghentian subsidi itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

QgenAnalysts berkata, kenyataan Perdana Menteri itu mendapat reaksi daripada netizen, dengan sebanyak 26,000 komen berkaitan isu tersebut dapat dikumpulkan oleh kecerdasan buatan (AI).

Komen terbanyak menurutnya datang dari Facebook dengan 14,000, yang mana 75 peratus daripadanya adalah negatif terhadap kerajaan. 

“Diikuti TikTok dengan 7,000 (komen), 90 peratus daripadanya negatif terhadap kerajaan.

“Dan di X (dahulunya Twitter) 4,000 (komen) dengan 55 peratus dari jumlah komen adalah condong kepada negatif terhadap kerajaan. 

“Majoriti perbincangan di media sosial berkisar tentang definisi ‘golongan kaya’,  janji pendidikan percuma dan isu diskriminasi dan hak pendidikan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -