
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, menegur amalan sesetengah wartawan dan editor yang terlalu ghairah mengejar berita sensasi, tanpa memikirkan impak moral dan etika terhadap individu yang terlibat.
Menurut beliau, sebahagian wartawan kini lebih gemar memburu berita yang dapat menimbulkan kontroversi semata-mata untuk menarik perhatian.
“Wartawan bahagian tulis berita, editor tukang letak tajuk. Berita sensasi dengan tajuk meletup maka itulah kononnya news of the day.
“Media adalah dunia saya. Dalam dunia penulisan berita kita diajar, kucing kejar tikus bukanlah berita, itu biasa saja.
“Tikus kejar kucing, itulah berita,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Namun, beliau mengingatkan bahawa ada batas yang harus dijaga dalam mencari sensasi.
“Setiap sentuhan pada skrin atau papan kekunci boleh menjadi hitungan dosa atau pahala,” katanya.
Tambah beliau, penulisan yang merosakkan reputasi atau menyebarkan aib, sama ada benar atau tidak, akan membawa implikasi buruk.
“Dari kerja ini kita dibayar gaji dan elaun untuk sara diri dan keluarga.
“Tentu sekali kita tak mahu makan hasil yang dibayar dari keghairahan penulisan untuk bongkar kisah rumah tangga orang, tulis tajuk sensasi berita perceraian artis, sebarkan aib orang yang belum tentu benar atau salah dan yang sewaktu dengannya,” katanya.
Azman juga mengkritik editor yang disifatkannya sebagai ‘tukang cucuh api’ di mana tajuk-tajuk yang sensasional dijadikan alat untuk membakar emosi orang ramai.
“Maaf, saya tengok sekarang ramai wartawan suka kumpul kayu api dan editor jadi tukang cucuh api. Akhirnya api menyala dan mereka rasa puas hati.
“Apakah mereka tak fikir bahawa api yang menyala tersebut telah membakar jiwa orang lain dan akhirnya akan membakar diri sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024




















