
KUALA LUMPUR: Tiada anak-anak penduduk di kawasan Machang yang akan tercicir untuk mengambil SPM kerana kemiskinan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau sendiri juga pernah berhempas pulas dalam mencapai keputusan cemerlang dalam SPM pada tahun 2004.
“Saya dulu pun berhempas pulas untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM 2004 dan akhirnya dapat juga 9A1 1A2 walaupun gagal beberapa subjek sebelum itu.
“Kalau kerana tiada bantuan tuisyen intensif maka sudah tentu amat sukar untuk mencapai skor yang tinggi dalam keputusan SPM,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya semalam.
Menurut beliau, tuisyen buat pelajar yang datang daripada keluarga yang susah adalah satu bantuan yang perlu disediakan.
“Saya dan semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) khususnya di Kelantan dan Machang tidak akan biarkan sama sekali kesusahan ekonomi keluarga sebagai alasan buat para pelajar tidak mahu mengambil SPM hanya kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan diri mereka.
“Itulah ikhtiar kami melalui program Tuisyen Rakyat Sejahtera Peringkat Parlimen Machang,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan tidak mahu membiarkan kemiskinan menjadi penghalang kepada anak-anak murid di Machang untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
“Kita tidak mahu kemiskinan menjadi batu penghalang kejayaan SPM anak-anak Machang.
“Maka jika ada masalah sila cari kami tak kira di mana dalam kawasan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024




















