
SHANGHAI: Serangan pisau di sebuah pasar raya di daerah Songjiang, di pinggir bandar Shanghai pada Isnin malam tadi menyebabkan tiga orang maut dan 15 cedera.
Polis Songjiang dalam kenyataannya pada Selasa berkata, ia telah menerima laporan pada jam 9.47 malam tadi bahawa seorang lelaki dengan pisau menyerang orang ramai di sebuah pasar raya di Songhui Road M.
Seorang lelaki berusia 37 tahun, dikenali dengan nama Lin telah ditangkap di tempat kejadian, lapor shine.cn.
Seramai 18 individu yang ditikam di lokasi kejadian telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan, namun tiga daripadanya meninggal dunia walaupun selepas diberikan rawatan kecemasan.
Sementara, tambah pihak polis, baki 15 mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kecederaan yang dialami mereka tidak mengancam nyawa.
“Siasatan awal mendapati Lin mempunyai pertikaian kewangan peribadi dan datang ke Shanghai untuk melepaskan kemarahannya,” kata kenyataan polis. -Agensi/– HARAKAHDAILY 1/10/2024




















