
KLUANG: Kesemua 20 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah ditutup pada jam 6 petang tadi dengan keputusan dijangka akan diketahui menjelang jam 9 malam ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di laman Facebook rasmi milik suruhanjaya itu sebentar tadi.
Dengan berakhirnya proses pembuangan undi sebentar tadi maka proses pengiraan undi akan bermula sebaik sahaja proses persediaan tempat pengiraan disempurnakan.
Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, selepas selesai proses pengiraan.
Merujuk kepada Facebook SPR, jumlah pengundi yang telah keluar mengundi sehingga jam 4 petang tadi hanya mencatat 47.16 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun dalam kenyataannya berkata, keputusan PRK DUN Mahkota dijangka dapat diketahui seawal jam 9 malam ini.
Menurut beliau, jangkaan tersebut adalah berdasarkan lokasi pusat mengundi yang berdekatan dan proses pengundian yang berjalan lancar, membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat.
“Di Kluang, logistiknya agak mudah dan dekat dengan semua, selain tempat mengundi juga berhampiran dengan bandar, jadi kita menjangkakan 9 malam ini,” katanya, di sini, hari ini.
Seramai 61,274 pengundi berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Mahkota dengan 4,437 daripadanya adalah pengundi awal melibatkan pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) menentang calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, dalam pertembungan satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 28/9/2024




















