
ISU yang timbul berkenaan laporan Bloomberg yang memuatkan beberapa tuduhan ke atas Perdana Menteri X (PMX) amat membimbangkan dan boleh memberikan kesan negatif kepada imej negara dan pentadbiran PMX sekiranya tidak diuruskan dengan baik.
Laporan tersebut yang melibatkan beberapa dakwaan terhadap integriti PMX perlu ditangani secara serius bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan kredibiliti kerajaan.
Antara tuduhan yang dibuat oleh Bloomberg adalah:
1. Lanjutan Kontrak Ketua Pengarah SPRM
Bloomberg melaporkan bahawa PMX bersetuju melanjutkan kontrak Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki, dengan syarat SPRM mengambil tindakan terhadap musuh politik PMX. Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah menafikan dakwaan ini.
2. Arah SPRM Siasat Anak Tun Mahathir & Daim Zainuddin
Menurut laporan itu, Azam Baki didakwa memaklumkan kepada pegawai SPRM bahawa PMX sendiri telah mengarahkan siasatan terhadap anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.
3. Pembelian Saham Hitech Padu
Bloomberg juga mendakwa bahawa Azam Baki telah memaklumkan kepada pegawai SPRM agar tidak menyiasat pembelian saham Hitech Padu oleh bekas Setiausaha Politik PMX, Farhash Wafa Salvador.
4. Kebimbangan Korupsi dan Kronisme
Bloomberg turut melaporkan bahawa terdapat kebimbangan bahawa korupsi dan kronisme semakin meruncing di bawah pentadbiran PMX, bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan.
Bersama laporan ini, kenyataan peguam Rafique Rashid dalam ceramah umum yang mengaitkan kesalahan lampau PMX, termasuk sabitan kes salah guna kuasa, menambah kepada persepsi negatif yang boleh memberi impak kepada kredibiliti kerajaan.
Sebagai tindak balas, PMX perlu mengambil tindakan proaktif bagi menepis segala dakwaan ini. Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Eksekutif Bersih, Ooi Kok Hi, sekiranya tuduhan ini tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menggugat keyakinan pelabur dan melemahkan imej kerajaan reformis yang diterajui PMX.
Langkah-Langkah Yang Disarankan:
1. Pendedahan Sumber Kewangan
PMX disarankan untuk mendedahkan sumber kewangan bekas Setiausaha Politiknya yang digunakan untuk membeli saham bagi mengelakkan spekulasi liar dan membuktikan ketelusan.
2. Tindakan Undang-Undang Segera
Sekiranya terdapat bukti kukuh, tindakan pendakwaan harus diambil segera bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira siapa yang terlibat.
3. Hentikan Siasatan Bermotifkan Politik
Kerajaan harus memastikan bahawa semua siasatan yang dijalankan terhadap pemimpin pembangkang bebas daripada sebarang motif politik dan dilakukan berdasarkan prinsip undang-undang yang adil.
4. Penubuhan Jawatankuasa Bebas ala-PAC
Untuk memastikan ketelusan dalam pelantikan Ketua Pengarah SPRM dan pemantauan terhadap sebarang salah guna kuasa, satu jawatankuasa parlimen bebas seperti ala-PAC harus ditubuhkan. Jawatankuasa ini perlu dipimpin oleh pihak pembangkang dengan keanggotaan dari kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
PMX perlu mengambil langkah-langkah ini dengan segera untuk menangkis tuduhan dan memastikan imej pentadbirannya terus bersih dan dipercayai. Pentadbiran yang bersih dan telus adalah kunci kepada kestabilan politik dan keyakinan pelabur dalam pembangunan negara.
Sekiranya tidak ditangani dengan baik, tuduhan-tuduhan ini boleh mencetuskan persepsi bahawa pentadbiran PMX tidak jauh berbeza dengan pihak yang dituduh sebagai korup oleh kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 27/9/2024
Ts. Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















