PRK Mahkota: Keluar mengundi, PN pilihan terbaik

- Advertisement -

KLUANG: Pengerusi Dewan Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed menyeru semua pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota agar keluar mengundi beramai-ramai esok.

“Ambillah contoh yang telah ditunjukkan oleh pengundi awal di sini DUN Mahkota ini pada Selasa lepas yang boleh keluar mengundi sehingga 95 peratus.

“Jadi mudah-mudahan pada Sabtu ini semua keluar mengundi beramai-ramai dan gunakanlah hak  anda mengundi untuk memilih calon yang terbaik dan calon terbaik mestilah daripada PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau turut berpesan agar mereka tidak lupa membawa kad pengenalan bersama-sama dan keluar awal tanpa menunggu hingga saat akhir.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu mengadakan kunjungan ke Markaz PAS Kawasan Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ), di sini, semalam.

Beliau hadir bersama dengan anak beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz.

Mengulas tentang peranan Dewan Assabiqun dalam PRK tersebut, beliau menjelaskan bahawa Dewan tersebut turut terlibat sebagai jentera pilihan raya bagi menyantuni pengundi dari kalangan warga emas.

“Assabiqun selalu saya sebutkan, kita sekarang ni akan menjadi Dewan. Jadi kita sebagai salah satu sayap daripada PAS. Maka tujuan utama kita wujudkan Assabiqun ialah untuk memberi bantuan kepada PAS terutamanya dalam menghadapi pilihan raya. 

“Sebab itulah maka di pihak Assabiqun, kita telah mengarahkan supaya membantu. Pertamanya bila sampai ke kawasan mengundi tu kita minta supaya mereka menyantuni orang-orang lama, orang tua,” katanya.

Jelas beliau, bilangan pengundi warga emas semakin bertambah setiap hari dan Assabiqun berperanan untuk menyantuni warga emas tanpa mengira kaum untuk menambah lagi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL.

Dr Mahfodz turut mengulas tentang isu sokongan golongan bukan Melayu terutamanya dari kaum Cina yang dilihat sukar diperolehi oleh PERIKATAN NASIONAL terutama PAS.

“Nak kata terus tak dapat undi bukan Melayu itu memang tak tepatlah. Lebih-lebih sekarang ini kita ada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di mana dalam DHPP itu ada India, Cina dan kaum-kaum pribumi  dari Sabah Sarawak.

“Mudah-mudahan apabila DHPP sudah menjadi Dewan, sama dengan Dewan Assabiqun, maka ini akan membuka hati pengundi-pengundi bukan Melayu. Menunjukkan bahawa PAS terbuka dan PAS tidak anti kepada orang-orang bukan Islam, terutama daripasa Cina dan India,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) sementara BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka dalam pertembungan satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -