
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan tiga negeri sehingga jam 1 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu di negeri Terengganu yang melibatkan kawasan Kuala Terengganu dan Marang.
“Selain itu, turut berlaku di Melaka yang melibatkan kawasan Melaka Tengah.
“Sementara itu, kawasan di Johor pula melibatkan kawasan Muar dan Batu Pahat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2024




















