
KLUANG: “Tindakan Kerajaan Madani yang menafikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL dan mengenakan syarat ketat melalui perjanjian persefahaman (MoU) untuk peruntukan pembangkang, adalah satu agenda pengkhianatan terhadap orang-orang Melayu.”
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini adalah kerana majoriti Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL datang daripada kawasan-kawasan majoriti Melayu.
“Sebab majoriti Ahli-ahli Parlimen PN ini kami menang di kerusi kawasan-kawasan pedalaman, kawasan-kawasan orang Melayu yang ramai susah.
“Kerana kerajaan yang ada pada hari ini tidak peduli nasib orang Melayu yang mengundi PERIKATAN NASIONAL.
“Yang dia tahu dia bantu negeri-negeri yang sudah pun maju dan hebat seperti Pulau Pinang,” katanya.
Sebagai contoh, tambah Fayhsal, apabila Kerajaan Negeri Kedah meminta untuk membina lapangan terbang, Kerajaan Persekutuan sebaliknya memberi seribu satu alasan untuk tidak memberikan kelulusan.
“Namun di Pulau Pinang sebab negeri DAP, ‘abang long’, sanggup luluskan banyak sekali peruntukan-peruntukan infrastruktur, nak besarkan Airport Bayan Lepas, nak buat LRT.
“Tetapi bila royalti Terengganu minta, tak bagi. Bila Kelantan minta, tak nak bagi.
“Walaupun dulu masa dia berjuang bersama PAS, dia janji, kalau menang hari ini esok dapat royalti. Berapa peratus 15 peratus kata Anwar Ibrahim. Dululah…,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program ceramah Pentas Anak Muda PERIKATAN NASIONAL bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Suria, di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Nadzir Helmi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi; Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz; dan Setiausaha Organisasi Nasional Parti Gerakan, Eddy Tan Kok Hong.
Menurut Wan Fayhsal lagi, MoU itu sebenarnya tidak diperlukan kerana yang dituntut ialah Anwar perlu menunaikan janji-janji manifesto PRU15 untuk memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen termasuk dari pembangkang.
“Apa keperluan MoU ni dibuat?
“Sebabnya kami hanya minta kerajaan ini tunaikan janji manifesto Pakatan Harapan yang mengatakan dalam PRU yang lalu.
“Kalau mereka berkuasa memerintah, mereka akan beri peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya,” katanya.
“Namun apabila sudah menjadi kerajaan dan memegang tampuk kuasa, kata Fayhsal, satu pun janji yang diulang-ulang tidak ditunaikan Anwar.
“Jadi, itu yang kerajaan Anwar Ibrahim buat pada hari ini sebab dia rasa dia kuat.
“Dia ada dua pertiga, dia boleh buli pembangkang. Dia boleh buang saya dalam Dewan Rakyat menggunakan kuasa majoriti.
“Hanya kerana saya membela mempertahankan kedaulatan agama bangsa dan tanah air bila saya pertahankan isu penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis dengan harga yang cukup murah buat rakyat Malaysia,” hujahnya.
Oleh kerana itu, beliau menyeru kepada pengundi-pengundi di DUN Mahkota untuk melakukan protes dengan mengundi PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini.
“Orang-orang DUN Mahkota ada misi besar untuk rakyat Malaysia.
“Rakyat lain tak boleh mengundi ketika ini. Rakyat lain hanya boleh menunggu PRU ke-16 untuk mengundi menyatakan bantahan mereka kepada ‘UmDAP’.
“Tetapi di DUN Mahkota Allah izinkan, Allah takdirkan, tuan-tuan dan puan-puan boleh nyatakan isyarat buat semua rakyat Malaysia yang kita tidak bersetuju dengan dasar-dasar Kerajaan Madani yang ada pada hari ini,” ujarnya lagi.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK yang telah menetapkan tarikh 28 September ini sebagai hari pengundian, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau cukup dikenali sebagai Coach Haizan.
Sehubungan itu, sebanyak dengan 20 pusat mengundi akan dibuka menjelang Sabtu (28 September) ini, selepas pengundian awal pula berlangsung pada Selasa (24 September) lalu melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 26/9/2024




















