Kuasa rakyat, tiada campur tangan asing dalam PERIKATAN NASIONAL

Nadzir Helmi dalam program ceramah Pentas Anak Muda PERIKATAN NASIONAL bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Suria, Kluang, Johor. (FOTO" HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunus)
- Advertisement -

KLUANG: Keprihatinan dan kuasa rakyat serta tidak ada campur tangan asing daripada luar yang terlibat dalam urusan pentadbiran negara merupakan integriti di sebalik kunci kenapa PERIKATAN NASIONAL (PN) jadi pilihan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Nadzir Helmi berkata, faktor utama kepada sokongan itu adalah kerana prinsip-prinsip yang dipegang oleh parti gabungan itu yang mementingkan keprihatinan kepada rakyat terutama sewaktu mentadbir negara.

- Advertisement -

“Faktor pertama ialah bagaimana PERIKATAN NASIONAL mampu menterjemahkan keprihatinan yang penting kepada rakyat ketika itu. 

“Sebab waktu itu kita berjaya menyelamatkan, berjaya keluarkan negara kita daripada kancah pandemik Covid-19 yang cukup menakutkan, yang merupakan pengalaman pertama negara kita menguruskan konflik sebesar itu,” katanya.

Menurut beliau lagi, faktor kedua yang menarik perhatian rakyat ialah pendekatan PERIKATAN NASIONAL yang membawa jati diri, integriti, nilai dan kuasa rakyat Malaysia yang sebenar. 

“Tidak ada campur tangan asing luar yang terlibat dalam urusan pentadbiran negara. Itulah PERIKATAN NASIONAL,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ceramah Pentas Anak Muda PERIKATAN NASIONAL bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Suria, di sini, malam tadi. 

Turut hadir ialah Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi; Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz; dan Setiausaha Organisasi Nasional Parti Gerakan, Eddy Tan Kok Hong.

Sehubungan itu tambah Nadzir, ia menjurus kepada prestasi cemerlang parti gabungan itu dengan PAS mendapat kerusi sebagai parti individu terbanyak iaitu sebanyak 43 kerusi.

“Dalam keadaan naratif yang dituju kepada PAS, yang dibawa pada PERIKATAN NASIONAL, yang dibawa kepada parti-parti komponen berkenaan tentang ekstrimis agama; bercakap tentang puak-puak yang pelampau, khawarij.

“Tetapi kenapa kita boleh dapat undi yang banyak? Malah undi yang banyak ni datang daripada mana?

“Datang daripada mempengaruh-pempengaruh yang hadir menyatakan sokongan kepada kita?” soalnya.

Nadzir juga menyatakan, pada hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maklumat mendapati sebutan PERIKATAN NASIONAL pada hari berkenaan mencecah tiga bilion di saluran media sosial.

“Nak cerita bagaimana rakyat memberi ruang dan kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL. Benda ini cukup menakutkan untuk Pakatan Harapan.

“Kita kena sedar Perdana Menteri yang ada pada hari ini ialah Perdana Menteri yang tak ada majoriti, yang memiliki kerusi antara yang terendah dalam pembentukan kerajaan tak sampai pun 30 kerusi,” tegasnya.

Malah, ujar beliau, hakikatnya  parti terbesar dalam kerajaan ini adalah DAP yang menyebabkan kerajaan berhadapan dengan satu masalah yang cukup menakutkan iaitu ‘trust deficit’ daripada rakyat.

PRK DUN Mahkota bakal berlansung pada Sabtu, 28 September ini dengan 20 pusat mengundi akan dibuka, manakala pengundian awal pula telah berlangsung pada Selasa (24 September) lalu melibatkan tiga pusat mengundi.

Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -