PRK Mahkota, peluang tolak Umno UmDAP

Annuar Musa pada ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, Kluang Johor. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)
- Advertisement -

KLUANG: “Ahli-ahli Umno Johor yang mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota boleh menggunakan kesempatan ini untuk menolak ‘Umno UmDAP’ bagi memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pemimpinnya yang membawa parti itu bersekongkol dengan DAP.”

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, selama ini pimpinan dan ahli Umno di Johor memang dilihat tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin mereka di peringkat pusat itu. 

- Advertisement -

“Saya yakin orang Umno Johor tahu apa yang dibuat oleh Umno itu adalah salah dan tidak kena. 

“Antara yang menegur perbuatan itu termasuk Menteri Besar Johor sendiri pernah menegur apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Umno.

“Antara orang yang teraniaya dalam pertempuran ini adalah tokoh-tokoh Umno Johor, (antaranya) Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang cuba nak menyelamatkan Umno daripada jalan yang salah,” katanya.

Sedangkan, menurut beliau, Hishamuddin adalah merupakan bekas Ketua Pemuda dan Naib Presiden Umno, namun dikenakan tindakan digantung keahlian. 

Tambah beliau, selain Hishamuddin, mantan Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad turut diambil tindakan kerana tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan parti itu. 

“Maka saya dah katakan, mantan Menteri Besar, Datuk Hasni yang paling berjaya memenangkan Kerajaan Johor dalam pilihan raya yang lepas. 

“Akhirnya tak dikenang, itu pun juga dikenakan tindakan,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, malam tadi. 

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Riduan Mohamad Nor; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Azman Nasrudin;  Pengerusi Proklamasi Melayu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid; dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Sungai Petani, Azhar Zakaria.

Selain itu, Annuar berkata, ramai lagi pemimpin-pemimpin Umno Johor yang hebat dan berjasa yang turut dikenakan tindakan seperti Datuk Halimah Mohamed Sadique, Dato’ Sri Dr Adham Baba dan ramai lagi. 

Menurut beliau lagi, kebanyakan mereka diambil tindakan disebabkan mereka berada di dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRU14 yang dibentuk bersama antara Umno, PAS dan Bersatu ketika itu.

Beliau juga menyatakan, Johor merupakan antara negeri yang melibatkan paling ramai tokoh dan pemimpin diambil tindakan kononnya kerana cenderung dengan PAS dan Bersatu sedangkan di Kelantan hanya beliau seorang sahaja pimpinan Umno negeri itu yang diambil tindakan. 

Kata Annuar, beliau datang berkempen dalam PRK itu untuk mengajak pengundi-pengundi Umno di kawasan itu untuk memberi isyarat kepada pemimpin Umno Pusat yang bertindak membawa Umno bersekongkol dengan DAP. 

“Maka, saya nak tanya kawan-kawan saya orang Umno Johor bila masa nak ‘bayar hutang’ ni? Tuan-tuan ada peluang ‘bayar cash’ pada hari )pengundian PRK Mahkota) Sabtu (28 September)  ini. 

“Tolak UmDAP, tolak Umno, tolak calon kerajaan, tolak calon Barisan Nasional. Itu mesej saya untuk kawan-kawan orang Umno,” tegasnya.

Beliau yang merupakan mantan Setiausaha Agung Umno itu berkata, perkara itu mampu dilakukan ahli Umno Johor memandang di negeri Pantai Timur ahli Umno sudah pun beramai-ramai meninggalkan parti itu.

“Oh tak boleh… Apa pula tak boleh? Orang Umno ni Kelantan dah berpuluh ribu keluar. 

“Di Kemaman ahli Umno, bahagian yang paling ramai ahli Umno dalam Malaya, Kemaman. Ketua Umno Terengganu, Kemaman

“Ahli Umno dekat 60,000, pilihan raya lepas di Kemaman hanya dapat 28,000. Pergi ke mana hamba Allah Umno 32,000 lagi? 

“Di Kemaman sahaja 30,000 dah tinggalkan Umno,” katanya lagi.

Annuar menyatakan juga bahawa jumlah keseluruhan keahlian Umno di sesuatu kawasan tidak lagi menjadi undi yang diterima Umno pada pilihan raya di kawasan itu manakala pimpinan parti itu juga kini sudah ramai yang keluar parti.

“Dan saya percaya, tengok pada data-data pilihan raya termasuk di Sungai Bakap orang Umno sudah meninggalkan Umno kerana perbuatan Umno,” hujahnya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau cukup dikenali sebagai Coach Haizan.

Pada hari Sabtu (28 September) ini telah  ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula berlangsung semalam melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

- Advertisement -