
KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober 2024.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya berkata, akta tersebut merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
“Peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan adalah termasuk rokok elektronik,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini, Akta 852 telah diwartakan tetapi masih belum dikuatkuasakan sehingga kini walaupun pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.
Sehubungan itu, kementerian sebelum ini dikritik kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.
Ini berlaku selepas perintah untuk mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.
Dalam pada itu, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 juga menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas. – HARAKAHDAILY 25/9/2024




















