
MERUJUK kepada pengesahan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengenai penamatan kontrak Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Khairuddin Othman.
Walaupun wartawan telah bertanya mengenai sebab penamatan awal kontrak, Menteri hanya menyatakan bahawa penamatan kontrak awal dalam lantikan adalah perkara biasa.
Namun, persoalan utama yang timbul ialah sama ada Menteri menyedari bahawa sudah dua Ketua Pengarah JKOM dilantik dalam tempoh dua tahun sahaja. Dr. Mohammad Agus Yusoff dilantik pada Februari 2023, tetapi meletakkan jawatan pada November 2023, hanya bertahan selama 10 bulan.
Selepas itu, Mohd Khairuddin dilantik pada Mac 2024 dan ditamatkan perkhidmatan pada September 2024, hanya bertahan selama 7 bulan.
Sebagai Menteri, Fahmi Fadzil sepatutnya bertanggungjawab untuk melantik seorang Ketua Pengarah yang layak dan kompeten bagi jawatan tersebut. Adakah pelantikan Dr. Mohammad Agus dan Mohd Khairuddin melalui proses penilaian yang teliti dan adakah mereka benar-benar layak untuk jawatan tersebut?
Tempoh perkhidmatan yang singkat bagi kedua-dua Ketua Pengarah ini bukan sahaja menunjukkan ketidaktentuan dalam kepimpinan JKOM, tetapi juga membazirkan dana awam. Perkara ini sebenarnya boleh dielakkan jika Menteri melantik seorang yang benar-benar layak dan berkelayakan untuk menggalas tugas sebagai Ketua Pengarah JKOM.
Saya berpandangan bahawa kegagalan ini mencerminkan kelemahan Menteri Komunikasi dalam mengenal pasti individu yang sesuai untuk jawatan penting ini. Lebih-lebih lagi, terdapat kemungkinan bahawa pelantikan-pelantikan sebelum ini dilakukan dengan mengambil kira kepentingan politik Pakatan Harapan, bukannya berdasarkan merit.
Oleh itu, pandangan yang lebih luas ialah kegagalan sebenar terletak di bahu Menteri Komunikasi, dan beliau sendiri sepatutnya mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan. – HARAKAHDAILY 25/9/2024
Ts. Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















