
KLUANG: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bermula pagi ini melibatkan pengundi-pengundi dari kalangan anggota keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sehubungan itu, tiga pusat mengundi awal telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu di Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.
Seramai 4,911 pengundi awal dalam PRK DUN Mahkota ini akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, yang mana 4,510 daripadanya adalah tentera dan pasangan masing-masing; manakala baki 401 lagi dalam kalangan anggota PDRM.
Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi dan akan ditutup pada jam 5 petang.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.
BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka dalam pertembungan satu lawan satu.
Tarikh 28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang. – HARAKAHDAILY 24/9/2024




















