
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) mengiktiraf usaha gigih dan peranan heroik yang dimainkan oleh gerakan penentangan Lubnan dalam perjuangan mereka menyokong rakyat Palestin sekaligus menjadi bukti gaza tidak berjuang bersendirian.
Setiausaha Agung PUM, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, kesepaduan yang terjalin antara gerakan penentangan Lubnan dan Palestin memberi mesej yang jelas bahawa umat Islam tidak akan sekali-kali membiarkan Gaza berjuang sendirian di medan pertempuran.
Dalam pada itu, PUM juga mengutuk dan mengecam serangan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas tanah Lubnan yang telah mengakibatkan kematian serta mencederakan ramai orang awam yang tidak bersalah, selain kemusnahan infrastruktur asas.
“Tindakan ini jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, serta mendedahkan wajah sebenar rejim penjajahan yang zalim.
“Serangan yang dilancarkan ini dengan jelas bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, PUM juga menyeru pemimpin antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia agar segera bertindak bagi menghentikan jenayah ini serta memastikan rejim Zionis dipertanggungjawabkan atas tindakan zalim mereka.
Di samping itu juga, PUM menuntut sekatan yang sewajarnya dikenakan ke atas rejim Zionis akibat pencabulan berterusan mereka terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa dan tindakan tegas mesti diambil bagi melindungi rakyat yang tertindas di Lubnan dan Palestin.
“PUM menyeru semua negara Islam dan rakyat yang mencintai keadilan agar memperkukuh kerjasama dalam menyokong penentangan terhadap rejim Zionis, serta terus memberi bantuan kepada mereka yang tertindas di Lubnan dan Palestin.
“Kesatuan dan solidariti dalamkalangan umat Islam adalah kunci utama dalam memastikan keadilan ditegakkan dan kebebasan dicapai untuk semua yang ditindas.
“Mari kita berdoa kepada Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di Lubnan dan Palestin, serta memberi kekuatan kepada mereka yang berjuang demi kebenaran dan kebebasan.
“Semoga keamanan dan keselamatan kembali meliputi seluruh dunia Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024




















