Hentikan segala urusan dengan Caterpillar – BDS

Prof. Nazari menyerahkan memorandum hentikan kerjasama dengan Caterpillar semalam.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Sime Darby digesa untuk menghentikan segala kerjasama dengan syarikat Caterpillar yang bersifat pro-Zionis.

Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata, antara ciri yang amat dahsyat dan kejam dilakukan oleh rejim Zionis adalah pemusnahan puluhan ribu rumah penduduk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

“Mereka menggunakan jentolak gergasi dalam melakukan perobohan secara haram terhadap rumah-rumah rakyat Palestin itu sendiri.

“Kegiatan tidak berperikemanusiaan ini sering mengakibatkan kematian kerana jentolak sebegini ada kalanya sengaja merobohkan rumah ketika penghuni masih berada di dalam kediaman,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau, syarikat Caterpillar yang menyediakan jentolak gergasi tersebut dalam melakukan kemusnahan tersebut.

Tambah beliau, jalan raya, sistem bekalan air dan sistem bekalan elektrik di bandar-bandar Palestin kawasan Tebing Barat dimusnahkan oleh rejim Zionis melalui jentolak gergasi yang diberi oleh syarikat tersebut.

“Jentolak itu juga digunakan di Tebing Barat untuk membina ratusan penempatan haram Israel di atas tanah yang dirampas secara haram daripada rakyat Palestin.

“Pada masa ini, jentolak gergasi sedang digunakan untuk melakukan Genosid di Gaza. Baru-baru ini beberapa pelarian Palestin yang tinggal di sekitar hospital Gaza telah dibunuh dengan kejam apabila jentolak melanggar khemah mereka dan menimbus mereka hidup-hidup.

“Yang amat mengecewakan ialah Sime Darby merupakan syarikat yang mengedar jentera Caterpillar di rantau Asia Pasifik manakala PNB pula adalah pemegang saham terbesar dalam Sime Darby itu sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Prof Nazari menyeru PNB untuk memberikan tekanan kepada syarikat Sime Darby supaya menghentikan segala hubungan perniagaan dengan Caterpillar.

“Kami menyeru PNB untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Sime Darby agar melakukan perkara sedemikian selagi Caterpillar tidak berhenti membantu Israel melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Ini adalah sumbangan kemanusiaan minimum yang boleh dilakukan oleh Malaysia demi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang Israel masih lakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/2024

- Advertisement -