MoU peruntukan pembangkang: ‘Sekadar untuk tutup mulut’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikemukakan oleh Kerajaan Madani tidak lain tidak bukan hanya untuk memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai kerajaan, menutup mulut pembangkang daripada bersuara terhadap kegagalan mereka mentadbir negara, serta membiarkan parti komponen mereka menyentuh hal ehwal agama Islam, bangsa Melayu dan Institusi Diraja.”

Pemuda PAS dalam kenyataannya berkata, peruntukan dalam MoU tersebut mengandungi frasa yang mengekang kebebasan ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk bersuara dan melakukan semak imbang terhadap segala perkara berkaitan hal ehwal rakyat dan negara.

- Advertisement -

“Hal ini kerana, MoU itu sendiri merupakan satu pencerobohan kerajaan selaku badan Eksekutif terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang dan mengikat peranan mereka dalam Parlimen.

“”Syarat dalam MoU itu juga merupakan suatu bentuk pelanggaran prinsip pengasingan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan kerana cuba untuk melemahkan pembangkang dalam Parlimen,”katanya.

Menurut kenyataan itu, MoU yang dikemukakan oleh kerajaan ini mengandungi frasa atau syarat yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan keistimewaan kaum Melayu dan bumiputera di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan telah mengangkat hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 8 (5), Perkara 153, Perkara 89 dan Perkara 90.

“Hak kesamarataan tanpa mengira kaum dan bangsa yang disebut dalam MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan pengikitrafan terhadap MoU tersebut merupakan pengiktirafan terhadap Deklarasi Setapak yang diperjuangkan oleh DAP,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, frasa atau syarat MoU yang menyekat ahli Parlimen Pembangkang dari membuat sebarang kenyataan atau ucapan berkaitan 3R (religion, race, Royal) adalah tidak jelas.

Ini kerana soalnya, jika terdapat pihak-pihak lain yang menyentuh soal agama, bangsa dan Raja, adakah pihak pembangkang tidak dibenarkan bersuara untuk membantah tindakan mereka yang menyentuh hal ehwal agama Islam, menyentuh dan menghina perkara berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan menyentuh Institusi Diraja?

“Ini sudah jelas bahawa mereka tidak mahu pembangkang bersuara berkaitan dengan perkara 3R supaya mereka sewenang-wenangnya boleh mengeluarkan kenyataan yang menyentuh agama, bangsa dan Raja sepertimana yang dibuat oleh Teresa Kok dalam isu halal dan DAP Pahang yang menghina orang Islam hilang rezeki jika PAS Pahang menutup premis judi.

“Mereka hanya mahu memperkukuhkan kuasa mereka sahaja dan tidak ikhlas mahu memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sekaligus menindas rakyat sendiri. 

“Inilah dia hakikat sebenar wajah Kerajaan Madani, kerajaan Jibayah yang zalim, menzalimi pembangkang dan rakyat sepertimana yang disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

- Advertisement -