
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut tindakan segera daripada kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar sedia ada, mencegah aktiviti perindustrian berhampiran sungai dan melaksanakan dasar yang menyasarkan pencemaran pada sumbernya.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ramai individu dan entiti mengabaikan penjagaan sungai di Malaysia sehingga mengakibatkan masalah pencemaran yang teruk.
“Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan, namun sungai-sungai di Malaysia masih teruk tercemar.
“Tumpuan perlu diberikan kepada perlindungan dan pemuliharaan agar ianya lebih murah dan lebih berkesan dalam jangka masa panjang.
“Bukannya bergantung kepada projek pembersihan berterusan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2023, daripada 672 sungai yang dipantau, 25 daripadanya adalah tercemar, 161 sedikit tercemar, manakala 486 menunjukkan kualiti air yang baik.
“Secara amnya, dinyatakan bahawa penurunan kualiti air sungai yang direkodkan pada 2023 adalah disebabkan oleh peningkatan beban pencemaran di sungai daripada punca tetap dan punca tidak tetap,” ujarnya.
Tambah Mohideen, pembentukan jawatankuasa khusus untuk mengenal pasti bahan pencemar baharu dan membangunkan dasar untuk mengukuhkan pentadbiran yang berkaitan dengan bahan pencemar baharu dalm sumber air negara merupakan satu inisiatif yang dipuji.
Ini kerana menurut beliau, walaupun memahami jenis bahan pencemar yang menjejaskan badan air adalah mustahak, menangani punca pencemaran adalah penting bagi perlindungan jangka panjang sungai-sungai di negara ini.
“Oleh itu, pendekatan semasa mestilah dikembangkan untuk mengutamakan pencegahan, penguatkuasaan dan dasar yang lebih ketat bagi menangani pencemaran di sumbernya.
“Walaupun peraturan alam sekitar wujud, ia hanya berkesan jika dikuatkuasakan dengan tegas.
“Tidak bertindak atau tindakan yang tertangguh daripada pihak berkuasa membenarkan pencemar meneruskan amalan berbahaya tanpa mempedulikan akibatya,” tegasnya.
Justeru, tambah beliau, usaha pencegahan pencemaran seperti menyekat penggunaan bahan kimia pertanian boleh menangani isu di sumbernya.
“Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan, menyemak dasar dan melaksanakan langkah pencegahan.
“Dengan menggabungkan usaha ini, kita boleh menjaga sungai kita dan memastikan air yang lebih bersih bagi generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2024




















