‘Kehancuran bermula apabila musuh bergerak dalam diam’

Serangan teknologi baharu yang menyebabkan perantai alt kelui, walkie talkie, komputer riba dan radio meletup di seluruh Lubnan dua hari berturut-turut pada Selasa, 17 September dan Rabu, 18 September 2024 adalah satu contoh nyata dan terkini kehancuran yang disebabkan gerakan pihak musuh secara diam dan licik. (FOTO: YouTube)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Punca krisis nilai yang berlaku hari ini apabila masyarakat gagal memasukkan nilai agama dalam sistem kehidupan.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, inilah konsep kebebasan yang didoktrin agar orang Islam semakin jauh meninggalkan agama.

- Advertisement -

Menurutnya, masyarakat sekarang mudah terpengaruh dengan ideologi manusia yang banyak meraikan nafsu jahat dalam diri manusia.

“Cabaran hari ini berbeza. Maklumat tersebar luas, informasi melimpah ruah, dan gaya hidup global menyebabkan manusia berfikir tanpa batas.

“Orang Islam mula longgar dan menuntut hak-hak yang bertentangan dengan nilai agama dan diperjuangkan atas nama hak asasi manusia.

“Orang Islam tidak lagi hidup atas dasar dan prinsip agama yang kukuh, nilai kehidupan mereka dibuat mengikut budaya dan pengaruh sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan.

Zurk Ahmad

Dalam pada itu, beliau berkata, agama tidak diberi kuasa yang cukup untuk membendung masalah ini mengakibatkan manusia sekarang boleh melakukan apa sahaja.

“Parahnya, Islam masih belum tertegak dalam sistem kehidupan masyarakat walaupun Islam adalah agama bagi persekutuan,” ujar Zurk.

Malah, beliau menyatakan, kerajaan bersekongkol dan tidak boleh berkompromi dengan mana-mana kumpulan dalam kerajaan yang tidak boleh menerima nilai Islam di negara ini.

“Ada pemimpin yang memperjuangkan ekonomi dengan sistem kapitalis.

“Ada pemimpin yang mempromosi idea liberal dalam hak sosial masyarakat.

“Ada pemimpin yang bersikap sekular dalam amalan politik mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau mengatakan bahawa sejarah membuktikan negara Islam tidak terus tumbang dengan perang. 

Tambah Zurk, kehancuran akan bermula apabila musuh bergerak dalam diam dengan menumbangkan agama dalam setiap diri orang Islam dahulu dan akhirnya, institusi dalam masyarakat perlahan-lahan hancur.

“Mereka tidak menzahirkan diri mereka sebagai penentang. Jika pemerintah tidak peka hari ini, jangan sampai kita berduka di esok hari,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024

- Advertisement -