40 PPS dibuka di Kedah, Pulau Pinang, Perlis

Khairul Faizi Ahmad Kamil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 Pusat Pemidahan Sementara (PPS) telah dibuka di utara Semenanjung yang melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, PPS telah dibuka sehingga jam 10.35 malam semalam.

- Advertisement -

“Faktor yang mempengaruhi banjir di negeri utara semenanjung adalah berpunca dari pertembungan air hujan lebat dan air pasang besar yang berlaku ketika ini,” katanya dalam kenyataan media akaun media sosial Facebook Khidmat Malaysia.

Menurut beliau, dalam laporan yang dikemaskini di Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia, negeri Kedah mencatatkan mangsa paling ramai iaitu seramai 3,060 mangsa yang melibatkan 861 keluarga (27 PPS).

Tambahnya, perkara tersebut diikuti dengan negeri Pulau Pinang yang melibatkan seramai 617 orang mangsa (170 keluarga) di 10 PPS dan Perlis (65 orang mangsa, 21 keluarga) dengan tiga PPS dibuka.

“Dilaporkan bahawa enam daerah negeri Kedah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Pokok Sena, Kuala Muda dan Kota Setar yang terlibat dalam bencana banjir ini.

“Selain itu, di negeri Pulau Pinang pula tiga daerah yang terlibat dalam bencana banjir iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Di Perlis pula, daerah Arau dan Kangar terlibat dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Arau dan Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar.

“Di Kedah, Khidmat Malaysia Negeri telah bertindak pantas dengan menyelaraskan gerak kerja di bawah pemantauan Bilik Gerakan Negeri (BGN) yang melibatkan penyelarasan pelaporan, penerimaan arahan dan info terkini bencana Negeri Kedah,” ujarnya.

Sehubungan itu Khairul menyatakan bahawa Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid telah memaklumkan Khidmat Malaysia Kedah juga telah mengarahkan semua kawasan yang terjejas banjir supaya membuka Bilik Operasi (BO) dan menggerakkan semua pasukan penyelamat dan sukarelawan bencana di bawah Khidmat Malaysia Kawasan untuk turun membantu keluarga mangsa bencana.

Kata beliau lagi, BGIB Khidmat Malaysia telah beroperasi sejak malam tadi untuk memantau perkembangan bencana banjir yang melanda negeri-negeri ketika ini.

“BGIB turut memperkemaskini maklumat melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (InfoBencanaJKM) dan Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan terhadap mangsa banjir dan sukarelawan yang terlibat boleh dilakukan melalui akaun Maybank (5623 8454 2866) milik Khidmat Malaysia ini sendiri.

“Sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024

- Advertisement -