
ARAU: Mangsa banjir di Perlis akan menerima bantuan kewangan segera melalui Tabung Bencana Perlis, demikian menurut Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Maklumnya, bantuan ini akan diberikan melalui akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Terang beliau, ia akan disalurkan menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Beliau menjelaskan bahawa sumbangan tabung ini akan diuruskan oleh ICU Perlis dan akan terus dimasukkan ke akaun mangsa bencana yang layak.
“ICU akan menguruskan bantuan ini kepada penerima secara langsung melalui akaun mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.
Ujarnya lagi, bahawa bantuan ini hanya akan diberikan kepada mangsa yang mendaftar dan ditempatkan di PPS.
Beliau juga menasihatkan penduduk Perlis agar berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar rumah terutamanya ketika hujan, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Setakat jam 2 petang, seramai 45 mangsa banjir daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS SK Arau dan SK Sena, Kangar. – HARAKAHDAILY 19/9/2024











