‘Parti kenit terus gagal beri sumbangan, raih sokongan Melayu’

Nazrul Nazir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Pemuda Amanah Nasional (Amanah), Ahmad Shahir Mohd Shah yang mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai hilang ‘kewarasan’ dalam Muktamar PAS Ke-70 baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja DPPM, Nazrul Nazir berkata, sebelum mereka (parti Amanah) mahu sibuk dengan parti lama seperti orang gila talak, adalah lebih baik Pemuda Amanah Nasional muhasabah diri terlebih dahulu.

“Di mana mereka dalam kerajaan perpaduan, selain menjadi parti kenit yang melukut di tepi gantang? 

- Advertisement -

“Setakat mana keberhasilan mereka dalam mendapatkan sokongan orang Melayu?

“Dalam setiap kali Pilihan Raya Kecil (PRK), mereka masih gagal dan terus gagal memberi sumbangan dalam mendapatkan sokongan orang Melayu, apatah lagi anak muda.

“Malah parti komponen dalam Pakatan Harapan sendiri sudah tidak mengharapkan mereka untuk melakukannya, kerana terbukti gagal berkali-kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazrul yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mempersoalkan di manakah suara pimpinan Parti Amanah dalam mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu dalam kerajaan perpaduan? 

“Bukan setakat tidak didengari, malah langsung tidak diambil peduli. Di mana ketegasan mereka dalam melawan rasuah dan korupsi?

“Hari ini, mereka bukan setakat berdiam, malah mengusung, menjilat hingga mencium tangan ‘penyamun’ yang mereka benci,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa agar Ahmad Shahir menyelesaikan masalah dalam partinya terlebih dahulu kerana dikatakan dalam Pemuda Amanah itu sendiri masih berpecah sejak pemilihan parti yang lepas.

“Nasihat saya, berhentilah jadi gila talak dan fokuslah memperkukuh parti sendiri yang entah masih relevan atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Terdahulu, Pemuda Amanah dalam kenyataannya menuduh bahawa tindakan Presiden PAS sebagai didakwa mengeluarkan ucapan yang berbentuk hasutan, yang didakwanya boleh menyebabkan tragedi Memali berulang.

Mereka turut melabelkan ucapan Presiden PAS sebagai ‘penuh dengan rasa benci dan dendam kepada pemerintah pada hari ini dan menganggapnya sebagai satu tindakan yang melampau oleh seorang agamawan’. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -