
KUALA TERENGGANU: Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus, Rhiduan Abdul Karim, menyifatkan kenyataan daripada DAP Pahang berhubung isu penutupan kasino di Genting Highlands jejaskan ekonomi dan mata pencarian umat Islam sebagai mengelirukan dan biadap.
Menurutnya, kenyataan tersebut memberi gambaran seolah-olah hasrat PAS untuk menutup kasino akan menjejaskan keseluruhan sektor pelancongan di Genting Highlands.
“Sebelum menulis ini saya merujuk kepada beberapa laman web yang mempromosikan pelancongan di Genting Highlands yang mana tiada satupun laman tersebut mempromosikan kasino.
“Namun, DAP Pahang meletakkan seolah-olah kasino lah tarikan utamanya hingga jika ditutup premis itu akan terjejaslah puluhan tempat-tempat menarik yang lain.
“Kedua, biadap kerana mengaitkan orang Islam yang kononnya bakal terjejas dengan tertutupnya pusat judi terbesar negara itu.
“Ini sangat kontradik dengan kenyataan beliau sendiri yang mengatakan tiada orang Islam yang dibenarkan masuk ke dalam kasino itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kenyataan itu merupakan penghinaan luar biasa kepada rakyat Pahang yang beragama Islam, kerana ia menggambarkan seolah-olah ekonomi mereka bergantung kepada aktiviti perjudian tersebut.
“Cubaan mengaitkan orang Islam yang bakal terjejas dengan penutupan pusat perjudian itu sangat menghina orang Islam seolah-olah di Genting Higlands, ekonomi orang Islam bergantung sepenuhnya kepada aktiviti judi tersebut.
“Ini penghinaan luar biasa kepada rakyat Pahang yang beragama Islam.
“Kurang ajar! Sungguh kurang ajar!,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024




















